Kelab yang bersaing di League Two, Leyton Orient memuat naik sekeping gambar Yaya Toure yang telah mengundang lonjakan kegembiraan di kalangan penyokong mereka.
Manakan tidak, pemain yang pernah beraksi bersama kelab besar, Barcelona dan Man City itu dilihat menyertai sesi latihan kelab yang bersaing di divisyen ke-4, Liga Inggeris. Siapa yang tak teruja pemain yang berstatus sepertinya berlatih bersama kelab.
Siapa bersama kita sekarang?
“Siapa yang ada bersama kita sekarang?” ungkap kenyataan di laman Twitter Leyton Orient bersama sekeping gambar Yaya Toure sedang menyarung jersi kelab tersebut dan setakat ini telah mengundang lebih 3 ribu retweet dikalangan pengguna Twitter.
“Dia merupakan pemenang tiga kali kejuaraan Premier League, Champions League, La Liga dan juga African Cup of Nations, Yaya Toure. Lihat, itulah dia dengan jersi Leyton Orient dalam sesi latihan pagi ini,” tambah kenyataan tersebut lagi.
Menurut laporan Daily Mail, pemain tersebut hanya akan menjalani latihan selama beberapa minggu bagi mendapatkan semula tahap kecergasannya dan sebenarnya tidak akan menyertai kelab tersebut secara kekal – menurut kata ejennya.
Ejennya telah menghubungi kelab tersebut bagi meminta persetujuaan mereka untuk Yaya Toure menggunakan kemudahan di pusat latihan Leyton Orient untuk beberapa minggu. Mereka sedang mencari kelab yang sesuai buat pemain tersebut.
‘Dapatkan dia!’
Penyokong-penyokong Leyton Orient dalam reaksi balas amat teruja dengan kehadiran pemain tersebut untuk bersama mereka, walaupun untuk sementara. Malah, ada yang meminta kelab menandatangani pemain berusia 37 tahun itu dengan segera.
Antara komentar yang dapat dilihat pada posting tersebut adalah, “Dapatkan dia. Saya tidak bergurau.” dan “Apa yang perlu kita lakukan untuk buat Yaya Toure menyertai The O? Ia pasti sangat menarik jika kita berjaya yakinkan dia untuk menyertai kita.”
Kali terakhir Yaya Toure beraksi di Liga Inggeris adalah pada musim 2017/18 sebelum berhijrah ke Olympiakos di Greece dan paling terkini adalah di saingan Chinese Super League bersama QD Huanghai, sebelum menjadi ejen bebas kemudian.
Di saat dunia dilanda pandemik, beliau tidak dapat menyertai mana-mana pasukan dan terpaksa memilih untuk menyertai sesi latihan di London bagi mengekalkan kecergasannya. Ketika ini, beliau dikaitkan dengan perpindahan ke Brazil.
Akan sertai Leyton Orient?
“Mungkin, kita tunggu sahaja,” ungkap pemain yang menyertai Barcelona pada musim 2007/08 di mana beliau membantu mereka memenangi beberapa kejuaraan antaranya La Liga, Copa del Rey, Champions League, Super Cup dan FIFA Club World Cup.
“Saya rasa seperti saya berada di rumah di sini. Saya cuma mahu terus berlatih dan membuat yang terbaik. Saya sudah tidak menyentuh bola dalam empat atau tiga bulan dan saya rasa seperti kehilangan sesuatu,” jelas Yaya Toure dalam satu temubual.
Bercakap mengenai kebenaran yang diberikan oleh kelab tersebut, Yaya Toure dipetik berkata, “Saya rasa pengurus dan staf kejurulatihan kelab ini sangat bagus, mereka benarkan saya datang berlatih bersama kelab dan pemain-pemain mereka.”
“Ia satu peluang yang hebat untuk berlatih bersama rakan-rakan dan juga bertemu orang di saat pandemik ini. Saya sangat gembira dan terharu,” jelasnya lagi.
Penutup
Pemain ini pernah dikatakan bersara pada 2019, namun ternyata beliau masih komited mencari stamina untuk menyertai kelab bola sepak ketika ini selepas meinggalkan China kira-kira lapan bulan lalu. Ke mana hala tujunya selepas ini?
Ada yang mengaitkan dengan perpindahan ke Botafogo dan turut berada dalam khabar angin adalah sebuah lagi kelab dari Brazil iaitu Vasco da Gama.
KREDIT FEATIRED IMAGE: LEYTON ORIENT