Indonesia dilihat terus mendapat kelebihan baharu mereka dalam saingan tempatan, apabila Barito Putera berjaya menandatangani seorang lagi jurulatih berbakat yang dapat menaikkan lagi bakat tempatan sana.
Pengendali baharu itu ialah Rodney Goncalves yang berasal dari Brazil untuk menggantikan khidmat pengendali kelab tersebut iaitu Dejan Antonic.
Bersama Barito Putera, jurulatih tersebut dilihat memiliki tugas sukar untuk kembali menaikkan mutu permainan serta melonjak kepada kedudukan lebih baik dalam carta liga, setelah kini mereka berada di tangga kedua tercorot.
🚨 OFFICIAL! Barito Putera resmi perkenalkan pelatih asal Brasil, Rodney Goncalves sebagai nahkoda baru tim untuk mengarungi sisa musim 🇮🇩Liga1 2022/23.
Rodney Goncalves mengisi kursi pelatih kepala yang kosong setelah sebelumnya diisi oleh pelatih asal Serbia, Dejan Antonic. pic.twitter.com/Tg3fzsKwhH
— . (@Indostransfer) September 22, 2022
Salah satu fakta menarik mengenai Rodney ialah beliau pernah menjadi pembantu jurulatih bagi skuad Brazil bawah 17 (B-17) dalam saingan Piala Dunia 1999 di New Zealand.
Pasukan tersebut juga ketika mencipta kejayaan sangat besar apabila muncul juara setelah menewaskan Australia menerusi penentuan sepakan penalti.
Ketika Rodney mengendalikan skuad pembangunan Brazil, beberapa bintang dunia telah pun lahir seperti Ricardo Izecson Leite atau dikenali sebagai Kaka serta Adriano Leite Ribeiro.
Rodney yang menjadi salah seorang individu penting dalam menaikkan bakat-bakat ini mengakui para pemain tersebut mempunyai mentaliti cukup kuat untuk berjaya ketika masih muda lagi.
Seperti diketahui ramai, Kaka merupakan salah seorang pemain terbaik pernah Brazil dengan menjadi tonggak utama buat kelab berstatus elit seperti AC Milan dan Real Madrid.
Manakala Adriano pula kekal sebagai antara pemain legenda buat Inter Milan dan cukup dikenali kerana kekuatan kaki kirinya yang berbisa.
“Bakat-bakat muda di Brazil mempunyai mentaliti yang sangat berbeza. Ada pemain yang menanam motivasi dalam diri sejak awal mengenai bola sepak mampu mengubah hidup mereka.
“Contohnya Adriano, beliau hadir daripada keluarga yang sangat susah dan usahanya sejak awal karier membuahkan hasil apabila tampil selaku salah seorang pemain Brazil yang sangat kaya,” jelas Rodney menerusi Bola.com.
Jurulatih berpengalaman luas itu juga menyatakan semua perkara tersebut turut dapat dilakukan oleh para pemain muda Indonesia jika mereka sememangnya serius dengan sukan tersebut.
Menurut Rodney, kejayaan tidak hanya datang bergolek jika pemain tidak serius dan berusaha keras untuk mendapatkan keputusan yang positif dalam diri.
“Kepada bakat muda Indonesia, sekiranya mereka betul-betul ingin menjadi pemain bola sepak terbaik pada masa akan datang, mereka perlu sentiasa serius dalam sesi latihan untuk terus berkembang.
“Saya lihat Barito Putera ketika ini mempunyai banyak bakat-bakat berpotensi untuk diketengahkan buat skuad kebangsaan pada masa akan datang.
“Apa saya boleh usahakan ketika untuk membuatkan para pemain percaya kepada diri sendiri untuk beraksi dan saya yakin sekiranya semua menjadi, apa saya inginkan dalam skuad ini akan terhasil,” tambah Rodney.