Bekas Jurulatih Penang Akui Makin Hilang Tenaga Untuk Kendali Sesuatu Kelab

Jika disebut nama Jacksen F. Tiago, pastinya ramai peminat bola sepak di Indonesia mengenali susuk tubuh ini yang lantang bersuara dari tepi padang selaku jurulatih berpengalaman.

Malah, Jacksen juga pastinya amat dikenali dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) kerana pengendali dari Brazil itu pernah membawa Penang selama dua musim dan dikenali kerana keramahan beliau.

Di Indonesia, nama Jacksen sangat terkenal kerana rekod jurulatih berusia 54 tahun ini sangat hebat dengan pernah meraih empat kejuaraan liga sebagai jurulatih import.

Salah satu kejuaraan tersebut diperoleh ketika beliau memimpin Persebaya Surabaya dan selebihnya Jackson menjadi jurulatih Persipura Jayapura.

Jacksen juga menjadi individu penting yang membawa kejayaan kepada Persis Solo musim lalu, setelah kelab tersebut berjaya memperoleh gelaran juara Liga 2 Indonesia untuk bersaing dalam kejuaraan utama kali ini.

Namun sejak beberapa tahun ini, para peminat bola sepak mempersoalkan mengenai kredibiliti jurulatih tersebut yang seolah hilang sentuhan berbisanya.

Ini kerana Jacksen dilihat tidak lagi tetap dengan sesuatu kelab, dan beliau juga kerap dipecat kerana tidak mampu mengekalkan kejayaan dalam tempoh agak lama.

Namun, Jacksen menolak tanggapan tersebut yang menyatakan kualitinya selaku jurulatih semakin terhakis dan beliau mempunyai pandangan berbeza.

“Saya hormat dengan pendapat orang ramai mengenai diri ini. Tetapi, jika seseorang itu hidup lebih lama, adakah dirinya semakin bodoh atau bertambah pengalaman? Ya, ia juga sama seperti kami sebagai jurulatih profesional,” jelas Jacksen menerusi Bola.com.

Tegas Jacksen, ketika ini kualiti dan pengalaman diperoleh beliau sentiasa berkembang, namun suatu perkara sahaja yang dirinya rasa hilang ketika ini iaitu tenaga sebagai seorang jurulatih.

“Saya merasakan diri ketika ini sangat bagus kerana memperoleh banyak pengalaman. Apa yang saya hilang kini adalah tenaga. Contohnya banyak perkara yang saya boleh buat dahulu kini tidak boleh dilakukan lagi,” ulas Jacksen.

Pada masa sama, Jacksen turut mengulas mengenai pasukan kendaliannya ketika ini iaitu Persis Solo yang dianggap kini lebih baik berbanding awal permulaan liga.

“Mengenai keputusan perlawanan, kadangkala kami beraksi dengan sangat baik berdepan lawan, cuma masalah lain pula timbul seperti penghasilan gol,” ujar beliau.

Ketika ini Jacksen masih lagi menjadi sebahagian daripada Persis Solo, tetapi beliau menyatakan kemungkinan musim hadapan mungkin menjadi tahun terakhir dalam dunia kejurulatihan.

Pengendali tersebut mula menceburkan diri dalam bidang tersebut ketika berusia 34 tahun dan banyak kejayaan sudah dikecapi Jackson di Indonesia.

Menerusi kata-kata dirinya, jelas Jacksen sudah pun berpuas hati dengan perjalanan karier beliau sebagai seorang jurulatih yang sudah memperoleh banyak kejayaan.

“Semua ini urusan tuhan. Ketika ini saya masih lagi bersama Persis Solo. Perancangan saya untuk menjadi jurulatih sehingga berumur 55 tahun.

“Kemungkinan besar saya tidak akan melatih mana-mana lagi pasukan dalam saingan di Indonesia pada masa akan datang,” terang Jackson.

Sumber:
Bola.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN