Beiranvand, Bekas Gelandangan Dan Penggembala Yang Menyelamatkan Penalti Ronaldo

Pada satu malam, anak muda berusia 21 tahun ini berhadapan dengan pemain terbaik dunia 2018 dan pemenang Ballon d’Or 5 kali.

Dalam perlawanan pertama, Cristiano Ronaldo dengan hebatnya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dari jarak agak jauh menewaskan David De Gea.

Beiranvand menyelamatkan penalti Ronaldo dan meletakkan pasukan beliau terus kekal dalam perjuangan untuk mara ke pusingan seterusnya. Itu adalah kegagalan penalti ke-6 Ronaldo untuk Portugal dan ke-22 dalam karier beliau.

Hidup kanak-kanak nomad

Beiranvand memiliki sejarah hidup yang sangat sukar pada usia kecil. Beliau dilahirkan dalam keluarga nomad di Sarab-e Yas, Lorenstan, Iran.

Beliau sangat suka bermain bola sepak. Itupun masa bermain bola sepak ketika beliau masih di sekolah sangat terhad. Hal ini kerana, keutamaan beliau adalah kerja sebagai penggembala kambing.

Balik petang daripada menggembala kambing, Beiranvand terus bergegas ke padang ataupun lorong untuk bermain bola sepak dengan rakan-rakan beliau.

Pada usia 12 tahun bakat beliau sangat mengujakan ramai orang di kejiranannya. Beiranvand ditawarkan untuk beraksi dengan sebuah pasukan di tempat beliau.

Namun ianya ditentang oleh ayahnya, Morteza yang menganggap bola sepak tidak akan dapat mengubah hidup mereka.

Kejar impian ke Tehran

Selepas dimarahi ayahnya, Beiranvand telah mengambil keputusan untuk lari dari rumah dan pergi ke Tehran. Beliau berharap akan dapat diterima masuk di mana-mana kelab.

Di Tehran, beliau mengasah bakat yang ada dengan membayar sekitar RM160 untuk berlatih dengan sebuah pusat latihan bola sepak. Kami tak pasti, berapa ramai pemain muda profesional Malaysia hari ini sanggup tak bayar RM160 untuk 1 sesi latihan tambahan?

Beliau bekerja di sekitar Tehran dan menyimpan wang untuk membayar yuran itu untuk latihan bola sepak profesional.

Di Tehran juga, ketika itu Beiranvand hidup sebagai gelandangan dan seringkali kelaparan. Beliau kerap berada di menara Azadi, tempat di mana ramai sukarelawan memberikan makanan kepada gelandangan.

Makanan yang beliau dapat tidak akan dihabiskan, beliau akan menyimpan makanan seperti roti untuk dimakan keesokan harinya.

Selepas beberapa kali memohon untuk menyertai kelab bola sepak di Tehran, beliau akhirnya bertemu dengan jurulatih bola sepak yang banyak mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat profesional iaitu, Hossein Faiz.

Coach Hossein Faiz menemui Beiranvand ketika beliau sedang tidur di depan pagar kelab.

“Mereka fikir saya adalah pengemis dan membawa saya masuk. Mereka memberikan saya sarapan pagi. Dan ianya sangat sedap. Sudah tak lama tak sarapan sesedap itu.”

Selepas memberikan peluang kepada Beiranvand membuktikan kemampuannya, coach Hossein Faiz melihat ada bakat yang bagus untuk digilap.

Jurulatih itu kemudian menempatkan Beiranvand di rumah salah seorang lagi pemain muda untuk 2 minggu. Dan cuba mendapatkan kelab untuk Beiranvand.

Di sana, Beiranvand sempat melakukan kerja mencuci kereta di perusahaan milik seorang lagi rakan baru beliau ketika itu.

“Ada suatu hari, saya membersihkan kereta Ali Daie. Dia sangat ramah dan rakan saya suruh saya bercakap dengan beliau. Malu saya nak sebut yang saya mahu menjadi pemain bola sepak.”

“Saya tidak dapat berkongsi situasi saya dengan beliau walaupun rakan saya menyatakan, Ali Daei mungkin boleh membantu saya.”

Beliau juga turut bekerja di kilang pakaian untuk menjana pendapatan tambahan.

Naft-e-Tehran datang melamar

Pada suatu hari, kelab Naft-e-Tehran telah berminat mendapatkan beliau. Ketika di kelab tersebut, beliau tidak mampu menyewa rumah dan kelab tersebut tiada kemudahan asrama.

Maka, Beiranvand dibenarkan tinggal di surau kelab tersebut. Namun tidak lama selepas itu, pihak kelab telah mengarahkan beliau meninggalkan kelab tersebut.

Ini kerana Beiranvand telah didapati berlatih dengan pasukan lain dan cedera. Naft-e-Tehran menganggap ia melanggar peraturan.

Beiranvand berlatih dengan kelab lain bukan kerana beliau mahu belot kepada kelab itu, tetapi beliau sudah lama mengamalkan rutin latihan tambahan secara peribadi.

Beliau mahu meningkatkan lagi intensiti latihan dan menambahkan lagi masa latihan beliau kerana latihan di Naft-e-Tehran lebih kepada latihan berpasukan. Beiranvand mahu berada dalam kecergasan optimum sepanjang masa.

Niatnya baik untuk menambahkan kemampuan secara latihan peribadi, namun disalah erti.

Beiranvand kemudian mencari kerja baru di sekitarnya dan bekerja di sebuah kedai pizza. Ada sekali, bekas jurulatih beliau datang makan di tempat itu, Beiranvand malu untuk keluar melayan mereka.

Beiranvand telah dimarahi oleh pemilik kedai dan dipecat serta merta hanya beberapa hari sahaja bekerja.

Menjadi tukang sapu

Beiranvand enggan berputus asa dan tidak tefikir untuk pulang ke pangkuan keluarganya. Dia melakukan banyak kerja lain selepas itu termasuk menjadi tukang sapu di lorong.

Beliau pernag menyapu Laleh Park seorang diri. Dan beliau sangat komited dengan kerjanya. Beiranvand cuba menyertai sebuah lagi kelab iaitu Homa, namun tidak berjaya melepasi sesi ujian.

Kembali ke Naft-e-Tehran

Dan pada suatu hari, pengurusan Naft-e-Tehran datang mendapatkan beliau sekali lagi. Ini selepas kelab tersebut tidak ada penjaga gol muda yang berbakat.

Bercakap kepada koresponden The Guardian, Beiranvand mengaggap jodoh beliau dengan Naft-e-Tehran sangat kuat, dan mungkin sebab itulah beliau gagal memikat pengurusan Homa dengan aksi lebih baik.

“Mungkin ada hikmah, Homa tidak mahu mendapatkan saya. Jika saya menyertai mereka, saya mungkin tidak akan mendapat apa yang saya ada hari ini.”

“Saya mungkin sukar menjadi pemain utama di sana.”

Beliau menyertai skuad B-23 Naft-e-Tehran dan berjaya menjadi pemain penting skuad beliau mereka. Tidak lama selepas itu, Beiranvand dipanggil untuk mewakili skuad B-23 Iran.

Aksi cemerlang beliau terus membuatkan beliau menjadi penjaga gol utama B-23 Iran. Dan pengurusan Naft mulai memberikan kepercayaan kepada beliau sebagai penjaga gol utama selepas aksi cemerlang di peringkat B-23 Iran.

Beliau pernah melakukan assist kepada Tractor Sazi dengan balingan bola sejauh 70 meter. Berita yang menjadi hangat dikongsi media termasuk di luar Iran.

Bercakap kepada wartawan selepas peristiwa assist itu, beliau berkata:

“Saya dapat melakukan balingan itu sebab saya banyak berlatih membaling batu ketika masih kecil.”

Bintang dan wira Iran

Pada 2015, beliau dipancing kelab besar Persepolis dan Naft-e-Tehran meminta $1 juta untuk beliau. Persepolis membayar angka itu tanpa tawar menawar.

Beliau telah menjadi nadi penting dalam skuad Persepolis.

Pada 2015, beliau dipilih menjadi penjaga gol no.1 Iran. Dan beliau melakukan 12 clean sheet pada peringkat kelayakan.

Iran mulai menjadi pasukan terbaik di Asia dan berada di rangkin no.1 di Asia mengatasi, Jepun, Australia dan Korea Selatan. Iran menjadi pasukan yang cemerlang di pusingan kelayakan.

“Saya melalui banyak pengalaman pahit. Dan saya tak mahu melupakan segala pengalaman itu, kerana ia akan menjadi peringatan kepada saya setiap hari. Pengalaman-pengalamn itu yang menjadikan diri saya yang ada pada hari ini.”

Selepas menyelamatkan penalti Cristiano Ronaldo, nama beliau melonjak naik. Beliau antara pemain paling cemerlang sepanjang kempen Piala Dunia 2018.

Impian beliau adalah untuk bermain di Eropah. Itu impian beliau sejak kecil. Dengan berseloroh, Beiranvand menyatakan:

“Untuk orang nomad seperti saya, pengembaraan hidup ini tiada penghujungnya.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN