Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengumumkan Beijing dan Shanghai merupakan di antara 10 bandar telah terpilih untuk menjadi lokasi pertandingan bagi penganjuran pusingan akhir Piala Asia yang akan berlangsung di China pada tahun 2023.
Penganjuran kejohanan bola sepak terunggul di Asia ini akan menjadi pemangkin kepada Persatuan Bola Sepak China (CFA) untuk membuktikan negara itu mampu untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada masa hadapan.
China yang mengatasi tiga lagi pembida lain iaitu Korea Selatan, Indonesia dan Thailand dipilih sebagai tuan rumah buat kali kedua selepas pernah menjadi penganjur kejohanan sama pada 2004.
Tianjin, Chongqing, Chengdu, Xi’an, Dalian, Qingdao, Xiamen dan Suzhou adalah bandar lain yang menjadi lokasi pertandingan untuk edisi ke-18 itu yang bakal berlangsung pada Jun dan Julai 2023.
The 10 host cities for the #AsianCup2023 announced!
• Beijing
• Tianjin
• Shanghai
• Chongqing
• Chengdu
• Xi'an
• Dalian
• Qingdao
• Xiamen
• Suzhou!https://t.co/O3PUdQS83E— #AsianCup2023 (@afcasiancup) December 28, 2019
“Piala Asia adalah kejohanan terbesar untuk pasukan negara Asia dan saya pasti CFA dengan bandar-bandar yang telah dipilih akan memastikan pertandingan yang bakal dianjurkan ini mencapai status berkelas dunia,” kata Presiden AFC, Sheikh Salam bin Ebrahim Al Khalifa.
“Pihak AFC merakamkan penghargaan kepada komitmen yang ditunjukkan oleh CFA dan 10 bandar yang hebat ini untuk menjadi sebahagian daripada keluarga bola sepak Asia.
“Saya ingin mengucapkan semoga berjaya kepada mereka dan dapat membuktikan kepada dunia bahawa China juga mampu menganjurkan pertandingan bola sepak di peringkat antarabangsa.”
The host rights of the 2021 Club World Cup & 2023 Asian Cup are given to 15 cities: Shanghai, Tianjin & Dalian will host both. 6 in the North, 3 in the East, 3 in the West, 2 in the South, 1 in the Central Area. Pole positions taken in bidding for the future FIFA World Cup. pic.twitter.com/8pWCRnFjpE
— Titan Sports (@titan_plus) December 28, 2019
Sejak Xi Jinping menjadi Presiden Republik China, beliau telah menyerlahkan minatnya terhadap sukan bola sepak dan memasang cita-cita untuk melihat negara itu menjadi tuan rumah pusingan akhir kejohanan Piala Dunia pada satu hari nanti.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pelaburan dalam sukan terutamanya bola sepak meningkat secara mendadak dan Liga Super China (CSL) dilihat semakin meriah dengan kemasukan pemain-pemain handalan dunia.
Namun ianya masih belum menjadikan pasukan negara mereka mampu bersaing dengan pasukan-pasukan gergasi Asia yang lain. Kali terakhir mereka mara ke pusingan akhir Piala Dunia adalah pada tahun 2002 yang dianjurkan secara bersama oleh Korea Selatan dan Jepun.
Malah pasukan itu juga tidak pernah menjulang Piala Asia. Dalam kejohanan Piala Asia pada awal tahun ini di UAE, mereka disingkirkan Iran di peringkat suku akhir.