Kuala Lumpur City (KL City) secara rasminya mencatat kekalahan kedua mereka terdahulu di pentas saingan ACC Shopee Cup 2024/2025 menerusi keputusan 2-3 di tangan Cong An Hanoi FC (CAHN) dari Vietnam.
Walaupun beraksi di laman sendiri, nyata ia tidak memberi sebarang kelebihan terbaik buat skuad kendalian Miroslav Kuljanac untuk cuba mencipta keputusan lebih positif.
Lebih malang, pasukan dari Malaysia ini juga tempang menerusi kehilangan dua pemain utama akibat layang kad merah sepanjang aksi tersebut berlangsung.
Di media sosial, pelbagai pandangan diberikan oleh peminat mengenai nasib pasukan itu yang serba tidak menjadi khususnya pada babak separuh masa kedua.
Kekalahan itu menyaksikan KL City kini berada di tangga ketiga Kumpulan B selepas dipintas oleh wakil kelab dari Thailand iaitu Buriram United yang meraih tujuh mata secara keseluruhan.
Apakah faktor utama kekalahan KL City?
Mungkin pelbagai pandangan mampu dilontarkan oleh semua yang menyaksikan aksi tersebut dan salah satunya terarah kepada emosi.
𝑭𝒖𝒍𝒍𝒕𝒊𝒎𝒆#klbandarayarendahkarbon #klcityfc #sampaimatikualalumpur #cityboys pic.twitter.com/Pea4I2tMcM
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) January 23, 2025
Di babak separuh masa pertama, KL City tampil dengan fokus cukup baik bersama disiplin tinggi pada bahagian pertahanan, tengah dan serangan walaupun mereka terlebih dahulu ketinggalan menerusi ledakan Nguyen Quang Hai pada minit ke-10.
Namun, hasil terapan disiplin bersama fokus penuh menyaksikan KL City mampu meraih dua gol pantas melalui Adrijan Rudovic serta tonggak Harimau Malaya, Paulo Josue.
Sayangnya, konsistensi itu gagal dipertahankan apabila kebanyakan pemain KL City termakan akan provokasi serta serangan mental daripada pasukan lawan.
Bermula dengan gol penyamaan yang dicipta lawan pada minit ke-67, emosi kebanyakan pemain tuan rumah mula tidak menentu sehingga beberapa keputusan pengadil dianggap tidak tepat kepada mereka.
Hasilnya, KL City bukan memperoleh gol sebaliknya dua layangan kad merah dikutip pasukan itu untuk menyaksikan Kamal Azizi serta Paulo Josue menjadi mangsa keadaan.
Goyahnya emosi menyaksikan disiplin terbaik mereka juga semakin tidak teratur akibat kekurangan pemain sehingga KL City akhirnya dibolosi menerusi ledakan gol ketiga pelawat pada masa tambahan separuh masa kedua.
Walaupun ada beberapa keputusan pengadil yang mungkin boleh dipertikaikan KL City, namun asbab emosi dan disiplin tetap menjadi faktor kekalahan pasukan itu sendiri di Cheras.
Bangkit semula mungkin suatu kata-kata semangat paling sesuai digunakan untuk mereka, namun secara hakikatnya KL City bakal menghadapi aksi lebih mencabar seterusnya tanpa kelibat dua tonggak utama akibat layang kad merah.