Quantcast

BERITA

Bayern Munich Kini Dalam Usaha Dapatkan Leroy Sane

Pasukan Bundesliga, Bayern Munich kini dikatakan dalam usaha untuk membawa pemain Manchester City iaitu Leroy Sane ke pangkuan mereka.

Dalam sebuah sidang media, Pengerusi Bayern Munich (CEO) iaitu Karl-Heinz Rummenigge menyatakan yang kelab itu memang dalam usaha untuk membawa Sane ke Allianz Arena.

Menurut Rummenigge, usaha kini telah pun dimulakan untuk memperoleh pemain itu namun beliau tidak memberikan sebarang informasi konkrit mengenainya.

“Tempoh hari kami ada katakan yang kami tidak mahu bercakap banyak mengenai perpindahan yang kami ingin lakukan di masa akan datang.”

“Namun begitu, kami sedang berusaha ke arah itu (mendapatkan Sane) tetapi kami belum mahu bercakap mengenainya kepada pihak umum.”

Serge Gnabry yang merupakan rakan sepasukan Sane dalam skuad kebangsaan Jerman turut ditanya mengenai situasi tersebut.

Menurut beliau, kedua-dua pemain itu ada berhubung sesama sendiri namun tidak mahu untuk mendedahkan isi perbualan mereka kepada media.

“Kami memang ada berhubung secara kerap tetapi biarlah rahsia apa yang kami bualkan itu.”

Sane kerap kali dikaitkan dengan perpindahan dari Manchester City ke Bayern Munich.

Namun sehingga kini, kelab Jerman itu belum lagi melakukan sebarang bidaan rasmi untuk pemain itu.

Dalam perkembangan lain, Bayern Munich kini telah kembali sebagai salah satu kelab utama untuk siri eFootball PES2020 oleh Konami.

Mereka menjadi kembali bersama-sama Manchester United yang turut melakukan kemunculan semula dalam siri itu.