Bayern Munich tidak menghiraukan kelebihan lima jaringan yang dimiliki untuk mencatatkan kemenangan 3-1 pada aksi timbal balik peringkat 16 terbaik menentang Besiktas di Stadium Vodafone.
Pada perlawanan pertama di Allianz Arena, Bayern Munich berjaya menumpaskan Besiktas dengan keputusan 5-0 sekaligus menjadikan aggregit 8-1 memihak pendahulu Bundesliga itu.
Namun begitu, pengurus Bayern Munich, Juup Heynckes tidak memandang mudah cabaran yang diberikan Besiktas apabila beliau membariskan skuad utama pada perlawanan ini.
Berpunca daripada hantaran lintang yang dilakukan Thomas Muller pada minit ke-18, pemain antarabangsa Sepanyol, Thiago Alcantara berjaya menyambar hantaran cantik tersebut untuk jaringan pembukaan.
Memasuki babak kedua, Bayern Munich terus melebarkan kedudukan dengan jaringan sendiri yang dihasilkan pertahanan Besiktas, Gokhan Gonul.
Gol tersebut terhasil apabila hantaran lintang yang dilakukan Rafinha cuba diselamatkan oleh penjaga gol, Tolga Zengin.
Bagaimanapun, Gonul yang berada berhampiran dengan Zengin, tertampan bola ke gawang sendiri untuk kedudukan 2-0.
Tuan rumah berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-59 selepas David Alaba gagal mengawal bola dengan baik sekaligus berjaya dirampas oleh Gonul untuk membuat hantaran kepada Vagner Love.
Love yang sudah terjatuh masih mampu untuk melakukan percubaan dan seterusnya membolosi gawang Bayern Munich walaupun Arturo Vidal berusaha untuk menyelamatkan bola di atas garisan.
Pemain gantian, Sandro Wagner menjaringkan gol ketiga buat kelab Bavaria itu pada minit ke-84 selepas beliau yang menerima hantaran Alaba hanya mendada bola untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-1.
Bayern Munich menjadi satu-satunya kelab dari Jerman yang masih bersaing bagi merebut kejuaraan berprestij Eropah ini.