Dua aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand pada Jumaat dan Isnin ini merupakan misi hidup mati skuad Harimau Malaya yang akan menentukan peluang mereka untuk beraksi di saingan Piala Asia 2019.
Kumpulan B saingan kelayakan ketika ini menyaksikan Lebanon di tangga teratas dengan 10 mata, Hong Kong di tangga kedua dengan 5 mata, Korea Utara ketiga dengan 2 mata dan Malaysia keempat dengan 1 mata. Lebanon dan Hong Kong sudah beraksi empat perlawanan manakala Korea Utara dan Malaysia kurang satu perlawanan.
Setakat ini skuad Harimau Malaya masih belum mencatat sebarang kemenangan sejak Nelo Vingada dilantik sebagai jurulatih. Jika tewas kepada Korea Utara, peluang skuad negara untuk ke Piala Asia 2019 sudah tertutup.
Vingada bagaimanapun enggan terlalu memikirkan mengenai sasaran itu, sebaliknya lebih selesa untuk memberi fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Jika anda tanya saya (mengenai sasaran berdepan Korea Utara), selepas apa yang berlaku ketika berdepan Hong Kong, peluang untuk kami melepasi peringkat kelayakan masih terbuka.
“Tapi kami perlukan kemenangan kedua-dua perlawanan ini kerana jika menang, kami berada pada landasan terbaik untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan akhir.
“Tapi kami perlu fokus untuk aksi pertama dulu dan perlu tampil dengan aksi terbaik. Kami perlu menjaringkan gol selain bertahan dengan baik untuk mencipta kemenangan,” katanya kepada Berita Harian.
Kelmarin, Vingada mengumumkan 23 pemain yang dibawa ke Thailand dengan dua muka baharu dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Malaya kali ini.
Dua pemain tersebut ialah Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak dan Hadin Azman dari Felda United bagi menggantikan tempat Darren Lok dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Baddrol Bakhtiar (Kedah) yang dilaporkan mengalami kecederaan.
Sementara seorang lagi pemain dari JDT, Junior Eldstal yang sebelum ini berada dalam senarai awal 25 pemain pada 1 November lalu turut tiada dalam senarai akhir Vingada, sekali gus menjadikan hanya 23 pemain akan dibawa ke Thailand.
Vingada enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai punca Junior Eldstal tidak melaporkan diri.
“Junior meminta pelepasan untuk tidak bersama skuad kebangsaan kali ini atas sebab tersendiri dan saya tidak boleh mengulas lanjut.
“Tapi dengan skuad yang ada ketika ini, bagi saya sudah cukup untuk kami berdepan Korea Utara,” katanya.