Pemain import Batu Dua FC, Ljuba Baranin meluahkan rasa kecewa beliau, dan menyifatkan beliau dilayan seperti seekor babi oleh pengurusan pasukan tersebut. Dalam entri Facebook beliau 3 jam yang lalu, Baranin berkata:
“Terima kasih kepada Tuhan, saya akhirnya meninggalkan Batu Dua FC.”
“Siapa yang bermain untuk pasukan ini tahu neraka itu mudah baginya. Yang bekerjasama dengan pemilik kelab (tuan muda) dan pengurusan – bertemu dengan syaitan itu lebih senang.”
“Saya tidak pernah melihat ketiadaan rasa hormat dalam kerjaya seperti dilayan macam babi. Terutamanya pemain import.”
“Saya tidak pernah melihat seseorang berpura-pura menjadi lelaki kaya tetapi tidak mampu membayar gaji.”
“Saya tidak pernah melihat sesiapa yang mahu menjalankan kelab profesional dan menegaskan [kepada] pemain import membayar permit kerja, kereta dan apartmen mereka.”
“Dan saya tidak nampak bahawa seseorang memberi pemain cek palsu untuk mengelakkan pembayaran gaji.”
“Saya masih mempunyai pandangan yang sangat baik terhadap Malaysia dan rakyatnya, saya mempunyai ramai kawan baik di sini, saya harap MFL akan menyembuhkan kanser bola sepak ini yang telah memusnahkan beberapa pasukan.”
“Terima kasih semua orang, saya berharap kita akan berjumpa lagi pada musim hadapan. Sila kongsi jika anda boleh, untuk melindungi pemain lain yang mungkin berurusan dengan orang-orang ini pada masa akan datang.”
“Terima kasih (hanya ada seorang sahaja yang baik di dalam pengurusan Batu Dua FC).”
Batu Dua FC nafi
Melalui satu kenyataan ringkas, Batu Dua FC turut menafikan mereka bertindak tidak wajar terhadap pemain yang berasal dari Serbia itu. Mereka menyatakan kelab tersebut menjaga kebajikan pemain sebaik mungkin.
Ia respon kepada kenyataan Baranin yang menyifatkan para pemain – terutamanya pemain import – dilayan teruk ibarat melayan mereka seperti babi.
Malah kelab Liga M3 itu turut mengesahkan Baranin bukan lagi pemain mereka.
“Kami menafikan isu tidak menjaga kebajikan Ljuba dan masalah lain. Kami sudah selesai membayar gaji dan surat perlepasan dia sebagai pemain Batu Dua FC.
“Pihak kelab dan tuan muda sudah buat yang Terbaik untuk dia..” ujar kenyataan itu ringkas.
Kami menafikan isu tidak menjaga kebajikan ljuba dan masalah lain.. kami sudah selesai membayar gaji dan surat perlepasan dia sebagai pemain b2fc…
Pihak kelab dan tuan muda sudah buat yang Terbaik untuk dia..Posted by Batu Dua Football Club – B2FC on Thursday, June 20, 2019
‘Tuan Muda’ yang dimaksudkan dipercayai merujuk kepada Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohamed Rahim.
Turut dimuatnaik ialah sepucuk surat yang tidak berapa jelas kandungannya, dipercayai bukti membabitkan status Baranin bersama Batu Dua FC.
Apa kesudahannya?
Tatkala suhu bola sepak negara saban hari semakin suram dengan pelbagai jenis permasalahan, isu pembayaran gaji seperti ini bukanlah perkara yang kita mahu lihat dan dengar sekiranya benar berlaku.
Hanelang FC, Terengganu City FC, Perlis FA dan Kelantan FA adalah antara pasukan yang kerap kali menghiasi senarai pasukan Liga Malaysia yang culas dalam pembayaran gaji pemain dan pegawai sejak musim lalu.
Bagaimanapun, Baranin seharusnya menghantarkan aduan kepada pihak berwajib seperti PFAM atau pihak polis kerana dakwaan menipu menggunakan cek palsu misalnya, sekiranya dakwaan beliau adalah benar.
Batu Dua FC juga diharap menjelaskan perkara sebenar berserta bukti nyata di sebalik luahan Baranin sekiranya dakwaan tersebut tidak benar.