Legenda Argentina Gabriel Batistuta berkata bahawa Lionel Messi tidak akan mencapai kehebatan yang pernah dicapai oleh Diego Maradona.
Ini kerana bekas penyerang berusia 49 tahun itu melihat Messi tidak mempunya karisma yang sama seperti yang dimiliki oleh Maradona untuk disanjung setaraf legenda No.10 itu, walaupun Messi kini adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman La Albiceleste.
Sumbangan Messi bersama Barcelona sememangnya tidak boleh disangkal. Pemain itu telah menjaringkan lebih daripada 500 gol untuk gergasi Catalan tersebut, dan turut memenangi 5 gelaran Ballon d’Or sepanjang tempoh di Nou Camp.
Messi turut memadam rekod Batistuta bersama Argentina sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman pada 2016, dengan jaringan ke-55 di pentas antarabangsa ketika menentang Amerika Syarikat.
Hari ini Messi boleh berbangga dengan 61 jaringan keseluruhan untuk Argentina setakat ini, jauh meninggalkan apa yang Batistuta pernah lakukan bersama Argentina dengan jumlah 54 gol keseluruhan.
Namun demikian, Batistuta yang pernah memperagakan aksi bersama Fiorentina dan Roma itu tetap berpendapat ianya adalah Maradona yang akan sentiasa dikenang sebagai pemain terbaik sepanjang zaman untuk gergasi bola sepak Amerika Latin itu.
Ketika bercakap kepada Corriere dello Sport, Batistuta dipetik sebagai berkata:
“Diego (Maradona) adalah pemain terbaik sepanjang zaman. Beliau mewakili Argentina di dalam banyak perkara. Bukan sahaja di dalam bola sepak. Diego memiliki karisma, bakat yang luar biasa, serta imaginasi yang unik sebagai pemain.”
“Messi mungkin lebih baik daripada Diego dari segi teknikal. Namun beliau tidak mempunyai karisma yang Diego miliki.”
“Diego boleh menghidupkan suasana seluruh pelusuk stadium dengan kehadirannya. Semua mata akan tertumpu kepada beliau. Saya pernah beraksi bersma Diego dan saya tahu betapa pentingnya kehadiran Diego dalam perlawanan,” jelas Baristuta.
Batistuta sempat beraksi bersama-sama Maradona di dalam beberapa perlawanan antarabangsa, termasuklah ketika Maradona menjaringkan gol terakhir beliau untuk Argentina di pentas antarabangsa pada 1994.
Di Piala Dunia 1994 itu, Argentina menewaskan Greece 4-0 hasil jaringan Maradona, manakala 3 lagi jaringan dihasilkan oleh Batistuta.
Messi setakat ini telah melalui karier yang cemerlang bersama Barcelona dengan memenangi 8 kejuaraan La Liga, 5 kejuaraan Copa del Rey dan 4 kejuaraan UEFA Champions League.
Walaupun meraih timbunan kejuaraan dan kejayaan peribadi di peringkat kelab, Messi masih ketandusan kejuaraan di peringkat antarabangsa bersama Argentina.
Manakala sumbangan Maradona bersama Argentina sentiasa akan dikenang terutama ketika membantu negaranya menjuarai Piala Dunia pada 1986 di Mexico selepas menewaskan Jerman Barat 3-2 di aksi perlawanan akhir.
Maradona turut menjaringkan 5 gol sepanjang kejohanan elit bola sepak dunia itu sekaligus memenangi Anugerah Kasut Emas.
Medal kejuaraan di Piala Dunia adalah satu-satunya hadiah bernilai di dalam bola sepak yang masih tiada di dalam kabinet Messi. Jika beliau mampu melakukannya bersama Argentina pada musim panas ini, siapa tahu jika Batistuta akan mengubah pendirian ini.
Sebagai sebahagian daripada rangka persiapan untuk ke Piala Dunia, Messi dan Argentina akan berhadapan dengan Sepanyol dalam perlawanan persahabatan yang akan dilangsungkan pada esok di Madrid.