Saingan Liga Super baru saja memasuki tiga perlawanan dengan aksi pada pertengahan minggu bakal diadakan tetapi ianya untuk Piala FA.
Pelbagai cerita telah terhasil dengan banyak jaringan cantik dihasilkan, tepisan yang memukau serta permainan kasar yang dipamerkan.
Amat mengejutkan kerana selepas tiga perlawanan sahaja, sudah enam kad merah dilayangkan oleh pengadil merentasi 21 aksi Liga Super.
Empat pasukan telah menerima layangan kad merah oleh pengadil adalah Kelantan, Kedah Darul Aman, Perak dan Penang.
Christian Rontini menerima kad merah ketika Kelantan menentang Penang sementara Manuel Ott dibuang padang semasa Kedah Darul Aman kalah mengejut kepada PDRM.
Namun begitu, rekod yang lebih teruk dicatatkan oleh Perak dan Penang apabila masing-masing sudah memperoleh dua kad merah.
Penang memperoleh dua kad merah menerusi A. Namathevan ketika seri bertemu Kuala Lumpur City dan Soony Saad sewaktu menentang Kelantan.
Rekod yang diperoleh Perak lebih memalukan apabila kedua-dua kad merah mereka adalah ketika kalah kepada Kedah Darul Aman (KDA) di laman sendiri.
Haziq Puad dan Sunday Afolabi dibuang padang pada aksi tersebut.
Rekod yang diperoleh Perak dan Penang ini pastinya merisaukan jurulatih kerana jika ianya berterusan, pasukan boleh terkesan dengan rekod disiplin yang tidak baik dilakukan para pemain.
Jika mereka terus kerap mendapatkan kad merah, ianya akan menggangu perancangan jurulatih untuk perlawanan-perlawanan seterusnya kerana penggantungan yang perlu dilalui pemain.
Pastinya tugas berat menanti Datuk Lim Teong Kim dan Chong Yee Fatt untuk memastikan displin para pemainnya berada dalam keadaan lebih baik selepas ini.
Sementara itu, sebanyak 24 kad kuning telah pun dikeluarkan oleh pengadil kepada 10 pemain berbeza.
Latiff Suhaimi (Kelantan United), Christian Rontini (Kelantan), Kenny Pallraj (Kuala Lumpur City) dan A. Namathevan (Penang) adalah pemain yang telah mendapatkan tiga kad kuning.
Sementara Haziq Puad (Perak), Ivan Mamut (Terengganu), Rahmat Makasuf (Penang), Adam Tambi (Kuching City), Sebastian Avanzini (Kuala Lumpur City) dan Park Tae-su (Sabah) telah memperoleh dua kad kuning.