UCL kembali lagi. Perlawanan tumpuan untuk awal pagi esok sudah pastinya terarah kepada Barcelona vs Juventus. Ianya boleh dianggap perlawanan pembukaan idaman oleh semua peminat UCL. 2 pasukan besar dengan reputasi yang besar.
2 pasukan ini bertemu pada final UCL 2014/15 dan ianya dimenangi oleh Barcelona. Ketika itu, kedua-dua pasukan mahu melengkapkan treble untuk musim tersebut.
22 Julai yang lalu adalah kali terakhir mereka bertemu dalam perlawanan pra musim dengan kemenangan kepada Juventus 2-1.
Berbalik kepada perlawanan kompetitif, musim lalu, Juventus menghalang Barcelona ke separuh akhir dengan kemenangan 3-0 secara aggregate suku akhir. Ianya selepas Barcelona menang dalam pertarungan epik ke atas PSG dalam pusingan sebelumnya.
Rekod 6 perlawanan terakhir kedua-dua pasukan sangat seimbang. Masing-masing menang 2 perlawanan dan seri 2 perlawanan.
Prestasi semasa
Barcelona dan Juventus berada di dalam prestasi terbaik di peringkat domestik. Kedua-dua pasukan masih dengan permulaan sempurna selepas 3 perlawanan liga setakat ini.
Ketiadaan Neymar buat masa ini tidak meninggalkan impak yang terlalu besar. Ini kerana mereka boleh menampunya dengan fleksibiliti Luis Suarez. Dembele lebih selesa beraksi di sayap kanan.
Perkembangan pasukan
Barcelona nampaknya hanya kehilangan 2 pemain mereka berbanding dengan Juventus yang berhadapan dengan masalah kecederaan dan kecergasan yang kritikal buat masa ini.
Previu
Ousmane Dembele dijangka akan memulakan perlawanan kali ini selepas debut 23 minit beliau dalam derbi Catalan sebelum ini.
Dembele sudah menyumbang 1 bantuan gol di dalam perlawanan pertama beliau. Agak menarik untuk melihat cara Barcelona bermain kali ini.
Adakah mereka akan kekal dengan 4-3-3 atapun menggunakan pivot kembar 4-2-3-1 dengan menggandingkan Busquet dan juga Paulinho di tengah.
Untuk Juventus, Max Allegri kurang gembira dengan pasukan beliau meskipun menang dalam 3 perlawanan pertama liga. Beliau merasakan Juventus perlu memperbaiki aspek ketajaman di dalam kotak penalti.
Blaise Matuidi dijangka akan melakukan penampilan sulung UCL untuk pasukan Juventus kali ini. Pemain tumpuan pastinya Paulo Dybala yang dilabel Allegri sebagai bakal pemenang Ballon d’Or selepas era Messi-Ronaldo.
Sebelum Wisel
Ini adalah ujian terbesar Ernesto Valverde buat masa ini. Perlawanan berprofil tinggi akan mampu meyakinkan penyokong Barcelona sekiranya mereka berjaya menang.
Juventus memiliki gaya permainan bertahan dan mementing stabiliti di tengah. Mereka juga sangat bahaya menerusi serangan balas.
Barcelona masih mengekalkan hampir unit yang sama di pertahanan. Hanya Neslson Semedo yang menjadi tambahan di dalam pasukan ini di barisan bek berempat.
Siapakah yang akan menang pertemuan tumpuan ini? Kongsikan ramalan anda dengan kami.