Quantcast

BERITA

Barcelona Sahkan Akan Kembali Untuk Philippe Coutinho Pada Januari

Barcelona telah memberikan isyarat bahawa mereka akan kembali untuk perancang tengah Liverpool, Philippe Coutinho pada jendela perpindahan Januari akan datang.

Gergasi Catalan itu sebelum ini menyaksikan 3 bidaan mereka untuk Coutinho ditolak oleh hierarki di Liverpool. Bidaan terakhir Barcelona untuk pemain antarabangsa Brazil itu dilaporkan mencecah £115 juta.

(Photo by Boris Streubel/Getty Images)

Namun pada jendela perpindahan musim panas yang lepas menyaksikan Liverpool bertegas dengan pendirian mereka tidak akan melepaskan Coutinho walau sebesar mana pun bidaan yang ditawarkan oleh Barcelona.

Situasi tersebut dijangka tidak akan berubah buat masa ini terutama apabila Liverpool dan Jurgen Klopp sedang berusaha mengejar objektif mereka untuk layak ke peringkat kalah mati pertandingan UEFA Champions League (UEL).

Tetapi Barcelona jelas tidak berputus asa dan pegawai eksekutif kelab Catalan itu, Oscar Grau mendedahkan rancangan mereka untuk membawa Coutinho ke Catalan pada Januari.

(Photo by Ian MacNicol/Getty Images)

Namun demikian, Grau mengakui Barcelona harus mencari lebih banyak dana untuk merealisasikan perpindahan Coutinho daripada Anfield ke Nou Camp.

“Kami bersedia untuk membeli Coutinho pada jendela perpindahan pertengahan musim akan datang, atau mana-mana pemain yang dipinta oleh jurulatih.”

“Tetapi sebelum itu, kami perlu melakukan sesuatu terlebih dahulu. Jika ada pemain yang akan tiba, ini bermakna akan ada pemain yang akan keluar.”

“Anda harus lupakan nilai yang dibayar oleh Paris Saint-Germain (PSG) untuk mendapatkan Neymar pada musim panas yang lalu. Selepas cukai, kelab hanya menerima €188 juta dan hanya €144 juta yang boleh dibelanjakan.”

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Liverpool pasti tidak senang dengan kaedah Barcelona yang mendedahkan kepada umum untuk mendapatkan pemain terbaik mereka.

Apatah lagi pendedahan terbaru oleh Grau ini berlaku selepas kelab Merseyside itu berulangkali memberi amaran kepada Barcelona untuk tidak cuba memancing Coutinho.

Barcelona jelas tidak mempedulikan protokol yang digariskan oleh peraturan tidak membenarkan sesebuah kelab untuk cuba memancing pemain tanpa melalui kelab yang memiliki hak terhadap seseorang pemain.

(Photo by Lucas Uebel/Getty Images)

Sikap Liverpool yang berdiam diri dan tidak membuat aduan kepada FIFA berkemungkinan kerana masalah yang pernah mereka lakukan ketika cuba memancing Virgil van Dijk pada musim panas lalu dengan tidak mengendahkan Southampton.

Sebarang aduan boleh dianggap sebagai tindakan hipokrasi dari kelab Merseyside itu, walaupun tindakan oleh Barcelona untuk cuba memancing Coutinho jelas melanggar peraturan yang telah digariskan oleh FIFA.