Neymar kini berada dalam perhatian Barcelona yang kini sedang terdesak mencari jalan merealisasikan jalan pulang bekas bintang mereka itu ke Camp Nou.
Urusan membawa pulang Neymar agak rumit meskipun PSG dan pengurusnya, Thomas Tuchel sudah maklum dengan niat pemain berusia 27 tahun in untuk beralih angin.
Perkara pertama yang menjadi masalah adalah harga yuran perpindahan Neymar sendiri yang dianggarkan bernilai €175-200 juta. Barcelona telah pun membelanjakan €225 juta dalam jendela perpindahan pemain ketika ini untuk membawa masuk 4 pemain: Frenkie De Jong (€75 juta), Neto (€26 juta), Antoine Griezmann (€120 juta) dan yang terbaru, Marc Cucurella (€4 juta).
Sehingga kini, satu-satunya pemain yang telah dijual hanyalah Sergi Palencia yang berhijrah ke Saint Etienne dengan harga €6 juta sahaja. Hasil penjualan Jasper Cillesen, Denis Suarez, Andre Gomes dan Marc Cardona kesemuanya tidak dikira dalam akaun jual beli musim ini kerana urusan perpindahan telah diselesaikan pada musim lepas.
Ini bermaksud, sekiranya Barcelona berjaya membeli Neymar, jumlah perbelanjaan mereka untuk musim perpindahan kali ini boleh mencecah sekurang-kurangnya €400 juta.
Pada tahun ini FIFA telah menegaskan peraturan yang menetapkan bahawa; perbezaan antara pembelian dengan penjualan bagi aktiviti perpindahan pemain tidak boleh melebihi €100 juta.
Seandainya Barcelona tetap mahu meneruskan niat mereka untuk mendapatkan Neymar, mereka perlu memastikan mereka mampu mendapatkan €300 juta hasil jualan pemain sedia ada dalam skuad mereka sebelum musim ini berakhir pada 30 Jun 2020.
Terdapat sejumlah pemain yang akan terlibat dengan perancangan ini.
Mangsa pertama adalah Philippe Coutinho yang dianggarkan bernilai €90 juta. Penjualan pemain ini bukan sahaja untuk menampung pembelian Neymar, tetapi juga untuk pembelian Griezmann. Namun pemain yang baru sahaja menjulang Copa America ini masih belum mengenal pasti destinasi seterusnya dan PSG boleh menjadi salah satu pilihan yang ada.
Pemain lain yang terlibat dengan spekulasi ini adalah Ousmane Dembele. Pemain sayap Perancis ini dikatakan tiada dalam perancangan kelab pada musim ini. Begitu juga dengan pemain sayap Brazil, Malcom yang akan kehilangan kuota pemain bukan Eropah sekiranya Neymar ditandatangani. Seorang lagi pemain yang akan menerima nasib sama dengan Malcom adalah Arturo Vidal.
Samuel Umtiti dan Ivan Rakitic juga berpotensi untuk dijual. Namun kedua-dua pemain tersebut pada masa ini tidak ada perancangan untuk berpindah ke kelab lain. Manakala Nelson Semedo pula enggan dijual oleh pihak pengurusan kelab.