Hubungan di antara Arab Saudi dan Qatar semakin meruncing. Beberapa hari lalu, Arab Saudi mengumumkan mereka memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.
Salah satu langkah pro-aktif diambil mereka adalah dengan memboikot semua produk dan entiti Qatar di negara mereka.
Ini termasuk jersi Barcelona yang ada tulisan Qatar di hadapan. Barcelona menggunakan jersi dengan penaja Qatar Foundation pada 2011.
Ia juga sejarah pertama kali selepas 111 tahun, Barcelona bersetuju untuk meletakkan penaja pada jersi mereka.
Ia antara jersi yang mengingatkan Barcelona kepada era kegemilangan mereka di bawah Pep Guardiola. Barcelona kemudian menggunakan nama penaja Qatar Airways pada 2013.
Perjanjian dengan Qatar Airways berakhir musim ini. Pada musim hadapan, Barcelona akan menggunakan jersi dengan penaja Rakuten pada jersi mereka.
Dalam satu imej yang tular di media sosial, sebuah kedai sukan telah menutup nama Qatar Airways pada poster pemain Barcelona.
Arab Saudi turut mengingatkan kepada rakyatnya bahawa menggunakan jersi Barcelona dengan mana-mana nama penaja Qatar adalah satu kesalahan.
Untuk pelancong asing di negara mereka yang memakai jersi Qatar ini, mereka mungkin akan diarahkan untuk menanggalkan jersi tersebut.
Ini kerana Arab Saudi mendakwa Qatar telah terlibat dalam kegiatan keganasan.
Pesalah akan didakwa dan boleh dikenakan penjara 15 tahun serta denda sekitar £110,000 (AED 500,000) ataupun kira-kira RM598,000.00.
Barcelona antara kelab bola sepak yang paling popular di Arab Saudi. Nampaknya Rakuten akan mendapat manfaat segera kerana penyokong-penyokong Barcelona di Arab Saudi pastinya sudah ramai menempah jersi baru mereka.