Barcelona berhadapan dengan krisis kecederaan di kalangan pemain pertahanan menjelang pelawanan penting berhadapan Sevilla, Inter Milan dan Real Madrid.
Terbaru pemain pertahanan Belgium, Thomas Vermaelan mengalami kecederaan harmstring ketika tigasan bersama negaranya. Vermaelen dijangka akan menjalani pemeriksaan susulan bersama Barcelona pada hujung minggu ini.
Pihak kelab bagaimanapun sudah memberi pengesahan Vermaelen akan disisihkan selama sebulan setengah, menyebabkan beliau tidak dapat beraksi untuk Barcelona dalam lapan perlawanan.
Ernesto Valverde sebelum itu sudah pun hilang khidmat Samuel Umtiti, yang Barcelona sendiri tidak pasti tempoh rehat yang diperlukan untuk pemain itu kembali pulih ekoran kecederaan lutut yang dialaminya.
Kali terakhir Umtiti beraksi untuk Barcelona ialah pada penghujung September lalu, dan laporan oleh media di Sepanyol berkata pemain itu mungkin memerlukan pembedahan, sekaligus menyisihkan pemain Perancis itu sehingga tahun hadapan.
Kecederaan pemain pertahanan di Barcelona menjadikan Gerard Pique dan Clement Lenglet sebagai dua pemain pertahanan tengah yang kekal cergas untuk beraksi.
Lenglet yang dilayangkan kad merah pada penampilan sulung bersama Barca kelihatan masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri bersama pasukan barunya itu.
Manakala Pique terlibat dengan beberapa kesilapan berprofil tinggi yang menyaksikan Barcelona tidak mencatat kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini.
Barcelona sudah melepaskan sembilan gol dari lapan perlawanan La Liga musim ini. Ia adalah jumlah yang sama mereka lepaskan sepanjang 20 perlawanan pertama pada musim lalu.
Selain daripada kecederaan yang membelengu pemain pertahanan tengah, gergasi Catalan itu turut mempunyai masalah di bahagian bek.
Sergi Roberto di bek kanan akan terlepas sekurang-kurangnya dua perlawanan selepas mengalami kecederaan otot, tetapi mungkin kembali bersedia diturunkan pada hujung minggu ini.
Dengan hanya empat pemain pertahanan yang kekal cergas, Valverde mungkin terpaksa mengalihkan perhatian beliau ke skuad simpanan untuk sokongan.
Bek kiri, Juan Miranda dan pemain pertahanan tengah, Jorge Cuenca mungkin akan mendapat panggilan tersebut.
Barcelona akan menanti kunjungan Sevilla pada Sabti sebelum menunggu ketibaan Inter Milan di Nou Camp untuk perlawanan UEFA Champions League.
Real Madrid akan berkunjung ke Nou Camp selepas itu pada 28 Oktober hadapan untuk perlawanan El Clasico pertama musim ini.