Cerita mengenai anak Malaysia yang kini beraksi untuk pasukan Sporting Kansas City dalam saingan Major League Soccer (MLS), Wan Kuzain Wan Kamal kembali menjadi menjadi tumpuan ramai.
Anak muda berusia 19 tahun itu membuatkan rakyat Malaysia berbangga selepas beliau menjaringkan gol sulungnya buat pasukan yang kini berada di tangga teratas liga Western Conference MLS itu ketika membenam Minnesota 4-1.
Salah sebuah saluran media di tanah air juga telah mencoretkan pandangan mengenai masa depan Wan Kuzain yang dilihat bakal menyarung jersi Amerika Syarikat berbanding Malaysia.
Ramai juga yang menggalakkan Wan Kuzain supaya membuat langkah sedemikian kerana tahap dan kualiti bola sepak disana jauh lebih baik.
Namun bagi bapa Wan Kuzain, Wan Kamal, beliau turut mempunyai alasan dan pendapat beliau tersendiri bagi menjawab persoalan yang sering dimainkan mengenai masa depan anaknya.
Wan Kamal menjelaskan bahawa beliau tidak pernah mempengaruhi Wan Kuzain untuk memilih pasukan negara yang bakal diwakilinya.
Malah, sebagai seorang bapa, Wan Kamal memberikan kebebasan buat Wan Kuzain untuk membuat keputusan.
Wan Kamal turut menyifatkan apa yang telah dikecapi anaknya itu diharapkan dapat mewujudkan nafas baru serta semangat yang mendorong kepada pemain muda di Malaysia untuk bekerja keras mencapai kejayaan yang dihajatkan.
Beliau berkata ia perlu diusahakan tanpa mengira dari mana datangnya seseorang pemain tersebut.
Bagi Wan Kamal, pemain muda perlu sanggup untuk bekerja keras dan berusaha untuk mengubah nasib diri mereka sendiri.
Beliau juga meminta para peminat tidak berbalah mengenai masa depan Wan Kuzain kerana bagi beliau, anaknya itu akan tetap berusaha keras untuk menjadi salah seorang pemain terbaik dunia pada satu masa nanti walaupun ada yang tidak menyokongnya.