Seorang bapa dari Ontario, Kanada memberi amaran kepada ibu bapa supaya memantau tabiat gaming anak mereka selepas anaknya sendiri membelanjakan hampir CAD8,000 (RM25,000) bermain FIFA 16 di konsol Xbox.
Pada 23 Disember 2015 yang lepas, Lance Perkins mendapati bil kredit kad beliau mencecah sehingga CAD7,625.88 (RM23,550) selepas anaknya yang berusia 17 tahun menggunakan kad kreditnya untuk membuat pembelian dalam FIFA 16.
Perkins memberitahu media Kanada, beliau memberikan kad kredit kepada anaknya untuk tujuan kecemasan dan untuk membeli stok barangan kedai runcit keluarga mereka.
Anaknya mengaku telah menggunakan kad kredit tersebut untuk tujuan yang salah, tetapi tak menyangka tabiat membeli untuk memperbaiki pasukan FIFA 16 miliknya memberi beban kewangan yang berat kepada bapanya.
“Dia ingat bayaran itu hanya sekali saja sepanjang bermain permainan tersebut,” kata Perkins.
“Rupa-rupanya, dia dicaj setiap kali dia bermain, untuk setiap transaksi yang dilakukannya.”
Perkins sudah menghubungi syarikat kad kreditnya, dan diberitahu satu-satunya cara untuk beliau membatalkan transaksi tersebut adalah dengan mendakwa anaknya atas kesalahan penipuan kad kredit. Itu bukanlah pilihan untuk Perkins.
Beliau kemudiannya menghubungi Xbox, dan memberitahu anaknya berumur bawah 18 tahun ketika membuat transaksi pembelian di Xbox. Xbox memberitahu tiada apa yang mereka boleh lakukan dan bil tersebut tetap akan dicaj.
Sebagai rekod, Xbox sentiasa mempunyai tetapan (settings) yang menghalang pemain berumur bawah 18 tahun untuk membuat transaksi pembelian tanpa kebenaran ibu bapa.
Xbox membuat kenyataan berikut:
“Purchases made using a parent’s payment account are legitimate transactions under the Microsoft Services Agreement, and we encourage parents to use the many platform and service features we make available to prevent unapproved charges.”
Tetapi semua gamers tahu betapa mudahnya membuat profil akaun dengan umur yang tidak betul.
Bagi Perkins, beliau sudah mula membuat tindakan untuk memastikan bil kad kreditnya tidak akan melambung lagi.
“Tiada Xbox di rumah saya mulai sekarang. Atau apa-apa konsol sekalipun.”
Baca juga: Lelaki Ini Menyara Hidup Keluarganya Dengan Hanya Bermain FIFA