Nasib skuad bola sepak Malaysia pada bulan hadapan nampaknya sekali lagi dianggap tidak begitu baik, selepas beberapa negara menolak pelawaan untuk aksi persahabatan Tier 1 bersama Harimau Malaya.
Menerusi perkongsian Zulhelmi Zainal Azam di media sosial X, Bangladesh dan Maldives dilaporkan tidak memiliki kesempatan untuk menentang Malaysia pada aksi persahabatan.
Melihat kepada keadaan tersebut, berkemungkinan Harimau Malaya hanya akan menentang India sahaja pada bulan hadapan bagi siri persahabatan Tier 1.
Ia seolah-olah mengulangi kembali situasi bulan ini apabila skuad kendalian Pau Marti Vicente hanya memiliki satu aksi persahabatan Tier 1 menentang New Zealand dan satu lagi bertemu kelab tempatan sahaja.
Walaupun begitu, Malaysia masih memiliki kemungkinan untuk mengharungi satu lagi aksi persahabatan dengan Bhutan, Sri Lanka, dan Pakistan menjadi pilihan seterusnya buat mereka.
“Bangladesh dan Maldives tak available termasuk Afghanistan dan Nepal. Antara pasukan Asia Selatan lain yang mungkin boleh dijadikan lawan Harimau Malaya sebelum bertemu India adalah Bhutan, Sri Lanka atau Pakistan!” ujar Zulhelmi.
Bangladesh dan Maldives tak available termasuk Afghanistan dan Nepal. Antara pasukan Asia Selatan lain yang mungkin boleh dijadikan lawan Harimau Malaya sebelum bertemu India adalah Bhutan, Sri Lanka atau Pakistan! 🐯🔥@ASTROARENA pic.twitter.com/WhW4Dj1ef1
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) October 26, 2024
Menerusi perkongsian Vocket FC, skuad Bangladesh terpaksa menolak aksi persahabatan menentang Malaysia dalam usaha mereka untuk menjimatkan kos perbelanjaan.
“Malaysia dan Thailand telah menyatakan minat untuk mengaturkan satu perlawanan tetapi Maldives setuju untuk dua perlawanan. Jumlah perlawanan dan kos perbelanjaan secara keseluruhan menjadi lebih mudah,” kata Imran Hossain Tushar selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Bangladesh (BFF).
Di media sosial, beberapa kritikan mula diberi oleh para peminat yang mempertikaikan usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada segi persiapan mereka kepada skuad kebangsaan.
Apatah lagi Malaysia sendiri bakal menghadapi saingan ASEAN Championship Mitsubishi Electric Cup 2024 pada penghujung tahun ini selain aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Suka atau tidak, pasukan kebangsaan tetap memerlukan satu lagi aksi persahabatan sekurangnya pada bulan hadapan untuk memberi lebih banyak ruang kepada Pau Marti mencipta formula terbaik buat Harimau Malaya.
Apatah lagi Malaysia juga sudah pun mencipta kekalahan lalu di tangan New Zealand, dan ini peluang mereka untuk kembali memperbaiki kedudukan ranking pada aksi persahabatan akan datang.
Bagaimana pula pandangan anda mengenai lawan bakal dihadapi oleh Harimau Malaya pada bulan hadapan?