Pengurus Persija Jakarta yang juga merupakan lagenda bola sepak Indonesia, Bambang Pamungkas telah mengesahkan pihaknya akan memanggil pulang bek tengah, Ryuji Utomo daripada pinjaman di Penang FC.
Ryuji Utomo dipinjamkan selama semusim ke Penang FC bermula pada Disember tahun lalu selepas saingan Liga 1 Indonesia dilihat seakan-akan tidak akan berlangsung ketika itu. Ia dilihat satu keputusan yang bijak.
Ini kerana, bersama Penang FC, Ryuji Utomo bukan sahaja menjadi bek tengah kegemaran penyokong-penyokong skuad Harimau Kumbang itu, malah menjadi nadi penting di benteng pertahanan mereka.
🛎️CONFIRMED! Persija dipastikan kembali membawa pulang Ryuji Utomo (26/DF) usai masa peminjamannya bersama klub Malaysia, Penang FC usai.
Ryuji dipastikan bakal perkuat Persija di putaran kedua 🇮🇩Liga1 2021/22. Ryuji masih terikat kontrak bersama Persija hingga akhir tahun 2022. pic.twitter.com/rEVDWkbV8A
— . (@Indostransfer) October 19, 2021
Dalam saingan Liga Super, pemain kacukan Indonesia-Jepun itu telah tampil sebanyak 15 kali dan membantu Penang FC mengejutkan banyak pihak menamatkan saingan musim pertama kembali ke Liga Super di tangga ketiga. Beliau meraih 1194 minit permainan dan hanya terlepas tujuh perlawanan disebabkan kecederaan.
Aksi baiknya itu telah membantunya mendapat panggilan skuad kebangsaan kendalian Shin Tae-yong dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Taiwan baru-baru ini. Beliau diturunkan beraksi di perlawanan timbal balik kedua selama 90 minit dan telah membantu mereka meraih kemenangan 3-0 – agregat 5-1.
Kali terakhir Ryuji Utomo tampil bersama Garuda adalah pada Mac 2017 – tewas 1-3 kepada Myanmar.
Majoriti penyokong Penang FC mahukan pihak pengurusan mendapatkan Ryuji Utomo secara tetap daripada Persija Jakarta, namun dengan pengesahan oleh Bambang Pamungkas itu, ia menutup pintu rundingan.
Katanya dipetik daripada Bola.com dalam sesi Ngopi bersama Presiden kelab di Jakarta, “Betul. Ryuji Utomo akan kembali kerana dia masih ada kontrak bersama Persija Jakarta. Melihat jadual, kalau tiada perubahan, dia akan kembali memperkuatkan pasukan apabila pusingan pertama Liga 1 berakhir pada Disember depan.”
Persija Jakarta sedang berada di kedudukan ke-8 liga selepas tujuh perlawanan dengan 10 mata – hanya enam mata di belakang pendahulu, Bhayangkara Solo FC. Terdapat 18 pasukan sedang bersaing di Liga 1 Indonesia.
Selain Ryuji Utomo, Persija Jakarta juga telah meminjam keluar lapan pemain dengan tiga daripadanya termasuk Ryuji Utomo akan kembali dipanggil pulang apabila jendela perpindahan dibuka pada Disember.
Dua lagi pemain yang dimaksudkan adalah yang dipinjamkan ke kelab Liga 2, Dewa United FC, Resky Fandi Witriawan dan Al Hamra Hehanusa. “Mereka akan kembali ke Persija pada pusingan kedua,” katanya lagi.
Berikutan perkhabaran ini, Penang FC tentunya boleh membuat perancangan awal untuk barisan pemain untuk saingan Liga Super musim depan dengan mencari bek tengah yang setara dengan prestasi Ryuji Utomo.