Ballon d’Or: Sejarah Anugerah, Bagaimana Undian Dilakukan, Dan Siapa Pemenang Pilihan Malaysia

Pemain tengah Real Madrid telah dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2018. Berbeza dengan edisi Ballon d’Or sebelum ini, penganjur turut memperkenalkan anugerah khas untuk pemain bola sepak wanita buat julung kalinya pada tahun ini.

Penyerang Lyon dan Norway, Ada Hegerberg tampil sebagai pemenang pertama Ballon d’Or untuk kategori wanita pada tahun ini. Manakala penyerang muda Perancis dan Paris Saint-Germain turut dinobatkan sebagai pemenang Kopa Trophy – turut diperkenalkan buat julung kalinya.

Sejarah Ballon d’Or

Perkataan Ballon d’Or adalah berasal dari Bahasa Perancis yang membawa maksud ‘Golden Ball’ atau pun ‘Bola Emas’ – dan merupakan anugerah tahunan berprestij di dalam bola sepak anjuran majalah bola sepak terkenal, France Football.

Anugerah Ballon d’Or mula diperkenalkan pada 1956, dan penganjuran pada asalnya tidak mempunyai kaitan dengan badan bola sepak dunia FIFA. Namun pada edisi 2010 sehingga 2015, perjanjian dimeterai dengan badan bola sepak dunia itu untuk disatukan dengan anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA.

Majalah mingguan France Football.

Ia dinamakan sebagai FIFA Ballon d’Or pada ketika itu. Perjanjian bersama FIFA kemudian tamat pada 2016, dan anugerah tersebut kembali kepada nama asal, sebelum FIFA memperkenalkan The FIFA Best Football Award untuk menghargai pencapaian pemain-pemain di dalam bola sepak.

Merupakan cetusan idea penulis dan wartawam terkenal, Gabriel Hanot, Ballon d’Or bertujuan untuk menghargai pencapaian pemain bola sepak berdasarkan undian oleh wartawan bola sepak.

Pada asalnya anugerah ini adalah untuk pemain bola sepak di Eropah, sebelum ianya dibuka untuk semua pemain tanpa mengira asal usul pada 1995, asalkan pemain tersebut aktif beraksi di mana-mana liga bola sepak di Eropah.

Penerima Ballon d’Or dari Afrika pertama pada 1995, George Weah.

Pada tahun 2007, pencalonan untuk anugerah tersebut dibuka untuk penyertaan global, dan mana-mana pemain dari seluruh benua boleh dicalonkan sebelum dinamakan pemenang. Ini juga bermakna, pemenang Ballon d’Or pada hari ini dipilih oleh wartawan dari seluruh dunia, termasuk dari negara kita Malaysia.

Stanley Matthews dari kelab England, Blackpool adalah pemenang pertama pada 1956. Sejak daripada itu, kita telah menyaksikan deretan pemain bintang dunia seperti Pele, Bobby Charlton, Michel Platini, Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan ramai lagi pernah diumumkan sebagai pemenang.

Bagaimana senarai pemain disediakan?

Berbalik kepada anugerah Ballon d’Or 2018, kumpulan editorial France Football adalah pihak yang bertanggungjawab untuk menyenarai pendek senarai 30 pemain. Pemain-pemain dipilih berdasarkan pencapaian mereka untuk tempoh setahun sebelum itu – meliputi pencapaian domestik dan antarabangsa.

Selepas nama 30 pemain diperolehi, barisan juri yang terdiri daripada wartawan-wartawan bola sepak terkenal dan mempunyai reputasi dari seluruh dunia diberikan tugas untuk melakukan undian, dari senarai 30 pemain tersebut.

Setiap negara hanya boleh menamakan seorang wartawan untuk tujuan tersebut – sekaligus menjadi wakil negara di peringkat undian – termasuk Malaysia.

Senarai 30 pemain Ballon d’Or 2018

Berikut merupakan senarai 30 pemain akhir dari seluruh dunia yang disenaraikan oleh France Football:

Sergio Aguero (Man City), Gareth Bale (Real Madrid), Alisson Becker (Liverpool), Isco (Real Madrid), Harry Kane (Tottenham), N’Golo Kante (Chelsea), Hugo Lloris (Tottenham), Mario Mandzukic (Juventus), Sadio Mane (Liverpool), Marcelo (Real Madrid), Karim Benzema (Real Madrid), Edinson Cavani (PSG), Thibaut Courtois (Real Madrid), Cristiano Ronaldo (Juventus), Kevin De Bruyne (Man City), Roberto Firmino (Liverpool), Diego Godin (Atletico Madrid), Antoine Griezmann (Atletico Madrid), Eden Hazard (Chelsea), Kylian Mbappe (PSG), Lionel Messi (Barcelona), Luka Modric (Real Madrid), Neymar (PSG), Jan Oblak (Atletico Madrid), Paul Pogba (Manchester United), Ivan Rakitic (Barcelona), Sergio Ramos (Real Madrid), Mohamed Salah (Liverpool), Luis Suarez (Barcelona), Raphael Varane (Real Madrid).

Proses undian

Setiap juri juga mempunyai peranan dan tanggungjawab berdasarkan garis panduan yang disediakan penganjur sebelum menamakan calon pilihan masing-masing.

Ia tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya, dan juga untuk mengelak daripada undi popular semata-mata. Setiap juri harus menamakan lima pemain terbaik pilihan mereka mengikut turutan secara merit.

Bintang Brazil, Kaka adalah pemenang Ballon d’Or pada 2007.

Tiga kriteria utama yang perlu diambil kira oleh juri ialah:

  1. Penampilan individu dan prestasi mereka secara kolektik (kejuaraan) sepanjang tahun.
  2. Kehebatan pemain (bakat dan fair play)
  3. Karier permain

Pemain yang berada di kedudukan teratas akan diberikan enam mata. Pemain di kedudukan kedua akan menerima empat mata. Baki tiga lagi pemain yang disenaraikan masing-masing akan menerima tiga, dua, dan satu mata masing-masing.

Mata akan dijumlahkan oleh penganjur untuk menentukan pemenang.

Tie-breaker

Di dalam sistem kiraan, kemungkinan untuk mendapatkan jumlah mata yang sama itu pasti ada. Untuk itu, France Football mewujudkan sistem tie-breaker untuk memilih calon paling layak.

Jika ada lebih dari dua pemain untuk satu-satu kedudukan, pemain yang paling banyak diundi di tempat pertama akan diumumkan sebagai pemenang.

Bintang Portugal dan Real Madrid, Luis Figo turut pernah tampil sebagai pemenang Ballon d’Or.

Jika jumlah undi di tempat pertama masih juga terikat, maka penganjur akan merujuk ke kedudukan di tempat kedua. Begitu juga kaedah seterusnya sekiranya kedudukan masih lagi terikat di antara dua pemain.

Jika selepas jumlah undian di kedudukan kelima pun masih terikat, maka undian melibatkan dua pemain yang terikat mata akan dilakukan. Penganjur juga berhak untuk memberi kata putus terhadap sebarang masalah atau percanggahan lain yang timbul sepanjang proses undian.

Siapa wakil Malaysia?

Mewakili Malaysia, ialah wartawan dan penulis blog bola sepak terkenal dari Astro Arena, saudara Rizal Hashim.

Berikut adalah senarai lima pemain terbaik yang dipilih oleh wartawan-wartawan yang mewakili negara masing-masing dari seluruh dunia.

Bagi Malaysia, Rizal Hashim telah menamakan penyerang Atletico Madrid dan Perancis, Antoine Griezmann sebagai pilihan pertama. Bintang Croatia dan Real Madrid, Luka Modric adalah pilihan kedua.

Manakala pemain pertahanan, Raphael Varane adalah pilihan ketiga. Pemain tengah Manchester City dan Belgium, Kevin de Bruyne merupakan pilihan keempat dan Kylian Mbappe menjadi pilhan kelima oleh beliau.

Berdasarkan senarai nama ini, kami berpendapat ia adalah pilihan yang seimbang dan menepati ciri-ciri yang ditetapkan oleh France Football. Lima pemain tersebut juga turut meraih pelbagai kejuaraan bersama kelab dan negara – selain dari aksi konsisten bersama pasukan masing-masing sepanjang setahun yang lalu.

Penutup

Akhirnya kita melihat nama baru muncul sebagai penerima Ballon d’Or selepas anugerah tersebut didominasi oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebelum ini.

Untuk senarai penuh pemenang mengikut turutan, anda boleh terus ke pautan France Football.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN