Bakti Ramadan Hadi Fayyadh, Yakult Buat Kanak-Kanak Pesakit Kanser

Hadi Fayyadh

Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, penyerang Fagiano Okayama, Muhammad Hadi Fayyadh bersama panajanya, Yakult Malaysia Sdn. Bhd. melaksanakan kerja-kerja amal mereka walaupun dunia hari ini masih terkesan dengan pandemik COVID-19.

Menurut sumber dari Bernama, sumbangan berjumlah RM60,000 itu adalah untuk membantu kanak-kanak pesakit kanser di Pusat Perubatan Universiti Kabangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras melalui Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak PPUKM (CAKNE).

Hadi Fayyadh dan Yakult Malaysia sememangnya cukup dikenali dengan usaha mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada golongan yang memerlukan di negara ini.

Menurut pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu keluarga kanak-kanak itu terutamanya menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya berharap agar sumbangan yang diberikan ini dapat membantu meringankan beban perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa setiap kanak-kanak ini apatah lagi dalam keadaan semasa, semua pihak tidak berada dalam keadaan begitu senang disebabkan pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia Sdn Bhd, Hiroshi Hamada memaklumkan pihaknya akan melaksanakan inisiatif tanggaungjawab sosial korporat (CSR) itu secara berterusan sepanjang tahun.

“Kami memilih CAKNE kerana bersimpati dengan nasib kanak-kanak penghidap kanser. Kami juga telah membuat perancangan untuk menjalankan program bersama Hadi Fayyadh untuk kanak-kanak terlibat pada penghujung tahun ini.

“Ia mungkin dapat menceriakan hati mereka,” katanya kepada agensi berita nasional tersebut.

Penyerang tinggi lampai itu kini dalam musim keduanya di Jepun demi mengembangkan lagi kariernya di luar negara ke arah yang lebih baik.

Saingan Liga Jepun setakat ini masih belum dibenarkan untuk diteruskan susulan penularan wabak yang turut memberi kesan besar kepada negara matahari terbit itu.

Kredit Foto: Instagram hadifayyadhh

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Hadi Fayyadh dan Fagiano Okayama:

Leave a Reply