Ketua jurulatih Melaka United, Risto Vidakovic telah diberi amaran keras dan bakal menerima tindakan susulan selepas mendedahkan isu gaji pemain pasukan itu yang tertunggak kepada media baru-baru ini.
Menurut Arena Metro, kenyataan daripada jurulatih berasal dari Bosnia Herzegovina itu tidak tepat dan sepatutnya beliau berbincang dengan pihak pengurusan kelab sebelum membuat sebarang kenyataan.
Pihak pengurusan Melaka United juga berasa ralat dengan kenyataan Vidakovic kerana pasukan itu sebelum ini hanya mengalami tunggakan gaji selama sebulan terhadap pemainnya, dan bukan tiga bulan seperti yang didedahkan oleh jurulatih itu.
Menurut laporan akhbar tersebut, Vidakovic sudah pun memohon maaf kepada pihak pengurusan untuk isu tersebut.
Namun demikian pemilik Melaka United, Datuk Justin Lim bertegas tindakan susulan akan diambil terhadap pengendali itu sebagai peringatan agar kejadian sama tidak berulang pada masa depan.
“Saya sudah banyak berkorban untuk membina pasukan ini dan tidak mungkin akan merosakkannya termasuklah membiarkan pemain tidak dibayar gaji,” kata Justin kepada akhbar tersebut.
Bagi Justin kenyataan yang kurang tepat seperti yang didedahkan oleh Vidakovic kepada media telah merosakkan imej kelab tersebut.
#Noroomforracism#MelakaUnitedFC2022#AllUniteforMelaka pic.twitter.com/nwJPMsDoKL
— Melaka United FC (@MelakaUnitedFC) April 10, 2022
Malah pemilik kelab itu turut menjadi mangsa cemuhan penyokong sendiri dalam perlawanan Liga Super menentang KL City FC baru-baru ini kerana isu tersebut.
“Pada peringkat awal ini, kami memberinya surat amaran dan tindakan lanjut akan diambil kelak supaya perkara sama tidak berulang.”
Sebelum ini Vidakovic mendedahkan barisan pemainnya sudah tidak dibayar gaji selama tiga bulan dan situasi tersebut menyebabkan pemain hilang motivasi sehingga menyebabkan pasukan itu tewas 0-1 kepada Sabah FC di dalam saingan Liga Super baru-baru ini.
Perkara itu dinafikan oleh Justin pada 8 April lalu, dan tunggakan gaji sebulan tersebut turut telah dilangsaikan pada 8 April lalu.
Melaka United sehingga kini hanya berjaya merekodkan satu keputusan seri (1-1 menentang Penang FC) dan tewas tiga perlawanan lain, termasuk kekalahan 3-2 kepada KL City FC pada hujung minggu lalu.