Penganjuran Liga Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi (IPT) bukan sahaja memberikan peluang buat penuntut IPT di seluruh negara menyerlahkan bakat terpendam mereka, namun ia turut menyediakan landasan yang lebih luas buat para pemain.
Sekiranya saingan ini diberikan tumpuan yang khusus oleh para pemain, tidak mustahil mereka dapat mencuri perhatian mana-mana pasukan di Liga Malaysia.
Ia dibuktikan apabila pemain Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Jadid Ilyas dilaporkan akan menyarung jersi skuad Liga Super Felda United bagi musim hadapan.
Berita tersebut telah diumumkan oleh Bahagian Sukan IPT menerusi laman Facebook rasmi mereka mengenai rekrut terbaharu buat Felda United itu.
Jadid juga merupakan ketua pasukan bagi pasukan bola sepak IPT Malaysia yang akan bertanding di Sukan Universiti Asean 2018, Myanmar bermula 9 Disember ini.
Ternyata inisiatif yang dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Bahagian Sukan IPT bukanlah usaha yang ‘sekadar melepaskan batuk di tangga’ apabila ramai pemain yang beraksi di Liga Bola Sepak IPT dapat memecah masuk tembok ke Liga Malaysia.
Antara produk lepasan liga ini yang kini mewarnai kancah bola sepak tempatan adalah seperti Mohamad Hisyamudin Bin Mohamed Sha’ari, Amiridzwan Taj Bin Tajuddin, K. Reuben, Fahrul Razi Kamaruddin dan ramai lagi.
Semoga Liga Bola Sepak IPT dapat terus mencungkil bakat baru dan paling penting dalam melahirkan para pemain yang mempunyai keseimbangan dalam bola sepak dan pelajaran.
Kredit foto: Bahagian Sukan IPT