Pemain tengah RB Leipzig, Naby Keita mungkin sudah mengucapkan selamat tinggal kepada pasukannya di Bundesliga, sebelum menyertai Liverpool pada musim panas akan datang.
Keita bakal terlepas peluang untuk aksi terakhir di tempat sendiri, setelah dilayangkan kad merah ketika pasukannya ditewaskan 3-0 oleh Mainz pada Ahad.
Pemain antarabangsa Guinea ini dilayangkan kad kuning pada minit ke-88 perlawanan, sebelum dilayangkan satu lagi kad kuning hanya seketika selepas itu, untuk diarahkan keluar padang.
Layangan kad merah ini bermakna, Keita telah dilayangkan empat kad merah pada musim ini, dengan tiga daripadanya adalah ketika aksi bersama RB Leipzig.
Tiga kad merah lain yang diperolehi pemain berusia 23 tahun ini ialah ketika perlawanan Bundesliga menentang Borussia Monchengladbach, satu lagi layangan ialah ketika saingan Piala DFB menentang Bayern Munich, dan satu lagi layangan ialah ketika beraksi bersama Guinea menentang Tunisia.
Ini bermakna perlawanan terakhir Keita bersama Leipzig sekiranya diturunkan ialah ketika menentang Hertha Berlin di tempat lawan dalam perlawanan terakhir Bundesliga musim ini.
Walaupun cemerlang mengemudi bahagian tengah, sikap Keita sering dipersoalkan pada musim ini.
Ketika jendela perpindahan Januari lalu, Keita dilaporkan seperti tidak senang dengan kemungkinan beliau akan berpindah ke Anfield lebih awal dari perancangan.
Dan komitmen Keita di atas padang turut dikritik oleh media di Jerman ketika itu kerana seolah-olah tidak menghormati baki kontrak yang dimilikinya bersama Leipzig.
Untuk semua yang terjadi, Liverpool pasti mengharapkan Keita memperbaiki rekod disiplin dan sikapnya sebelum perpindahan ke Anfield pada musim panas akan datang dimuktamadkan.