Sebentar tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan 1 di Kementerian Kewangan menyampaikan pembentangan bajet bagi tahun 2018.
Seperti kebiasaan, pembentangan bajet akan menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.
Istimewanya pembentangan bajet pada kali ini adalah ia merupakan pembentangan terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan pada tahun hadapan.
Mengambil kira betapa pentingnya bajet tahunan, kerajaan sebaik mungkin melibatkan rakyat dalam penggubalan bajet tahunan negara melalui penyaluran pendapat secara terbuka di najibrazak.com sejak beberapa bulan yang lali.
Intipati Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada kali ini bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi Dan Ukhrawi, Demi Mensejahterakan Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50, berlangsung di Dewan Rakyat pada hari ini.
Segak berbaju melayu biru lengkap, Perdana Menteri memulakan ucapan pembentangan Bajet 2018 tepat pada jam 3:30pm.
Secara keseluruhan, jumlah peruntukan Bajet 2018 adalah sebanyak RM280.25 bilion, meningkat daripada RM260.8 bilion pada 2017, dengan RM234.25 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Apa yang menarik perhatian kami di dalam initipati bajet pada tahun ini ialah pengumuman peruntukkan oleh Perdana Menteri untuk Kementerian Belia dan Sukan yang di berada di bawah bidang kuasa Yang Berhormat Khairy Jamaluddin Bin Abu Bakar.
Bagi inisiatif meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlit, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara, sejumlah RM 1 billion diperuntukkan ke kementerian berkenaan.
Sehububungan dengan itu juga, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara membabitkan kos keseluruhan mencecah RM 112 juta.
Pengumuman oleh Perdana Menteri ini disambut baik oleh pelbagai pihak yang berkepentingan di dalam bidang ini.
Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFPD) turut mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak dan juga Menteri di Kementerian Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin kerana sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan akar umbi di dalam bola sepak.
NFPD Malaysia merupakan sebuah program pembangunan bola sepak di Malaysia. Di bawah program ini, lebih daripada 50,000 pemain akan dilatih dan dihasilkan menjelang 2020.
Projek di bawah seliaan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Projek ini mempunyai skop yang luas meliputi pendidikan jurulatih, pencarian bakat, kemudahan, infrastruktur, pertandingan kualiti dan kuantiti di pelbagai peringkat, kerana ia bertujuan untuk menyediakan anak-anak muda untuk permintaan tinggi di dalam bola sepak profesional.
Sudah tentu peruntukkan sebegini diharap dapat membantu melonjakkan projek berkenaan terutama ketika isu bola sepak dan prestasi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa sentiasa menjadi perhatian rakyat Malaysia kerana prestasi yang tidak memuaskan.
Semoga peruntukkan yang diamanahkan oleh Perdana Menteri dan rakyat Malaysia secara amnya, mampu dimanfaatkan demi pembangunan bola sepak negara secara menyeluruh.