Walaupun Kuala Lumpur City masih segar dengan kejayaan mereka menjuarai Piala Malaysia musim lalu, nyata sudah ada beberapa masalah besar yang menimpa pengurusan kelab berkenaan yang bakal menggugat keharmonian disebabkan campur tangan ahli politik.
Menurut sumber ciapan di laman Twitter saudara Hazeemdin, punca permainan ahli politik telah menyebabkan pengurusan tertinggi KL City yang terkini bakal mengundur diri termasuk ketua jurulatih, Bojan Hodak.
Presiden chow, CEO chow dan Bojan pun akan chow……????
Gila punya permainan politik bangsat ni.
— حازم دين (@hazeemdin) March 13, 2022
Hasil penulisan di ruangan editor dalam nashkah program perlawanan Sampai Mati Kuala Lumpur menjelaskan, Ketua Pegawai Eksekutif kelab tersebut iaitu Stanley Bernard dikhabarkan bakal mengundur diri dari pasukan setelah menerima tekanan kuat daripada ahli politik.
Sebelum itu, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang juga merupakan pemilik KL City iaitu Khalid Abd Samad telah menyatakan pendirian beliau untuk mengundur diri dengan meletak jawatan daripada kelab tersebut sekiranya gaji pasukan masih tidak dapat dilangsaikan dalam suatu tempoh yang tertentu.
Perkara ini terjadi setelah tekanan yang kuat diberikan buat Khalid dan Stanley agar melepaskan jawatan mereka untuk memberi laluan buat ahli baru yang berkepentingan politik pula menerajui KLFA dan KL City di tampuk pengurusan.
Sesuatu yang serius juga bakal terjadi dalam kejurulatihan KL City sekiranya dua individu tersebut mengundur diri, nasib Bojan Hodak juga dipertaruhkan mengenai masa depannya bersama kelab sekiranya Stanley dan Khalid melepaskan jawatan.
Untuk pengetahuan ramai, Stanley juga selama ini telah bekerja keras untuk melindungi KL City daripada gangguan ahli politik sejak awal tahun lalu. Menurut nashkah tersebut, ada seorang personaliti politik telah pun mengundur diri setelah gagal untuk mengusir Stanley daripada kelab setelah menggunakan kaedah ahli perniagaan sebagai proksi.
Namun segalanya dilihat tidak cukup kuat untuk Stanly bertahan dengan lebih baik apabila terpaksa jua akur dengan individu-individu baharu yang lebih berpengaruh sehingga para penaja pasukan turut ketakutan untuk melepaskan duit mereka dalam kantung pasukan yang menyebabkan tiada dana untuk pengurusan membayar tunggakan gaji buat pemain selama dua bulan.
Menyedari keadaan semakin membarah, Stanley dan Khalid terpaksa menelan suatu kenyataan pahit untuk sedia berundur agar kemelut ini dapat diselesaikan serta demi kelangsungan pasukan bergerak musim ini.
“Hanya penyokong yang memahami apa yang diharungi Stanley dan Khalid selama 15 bulan yang lepas ini dapat menghargai usaha mereka, termasuk membawa pulang Piala Malaysia ke Kuala Lumpur selepas 32 tahun.
“Terima kasih Khalid dan Stanley di atas segala usaha dan jasa anda,” jelas kenyataan dalam nashkah tersebut.