Masih anda ingat penyerang berbisa handalan Terengganu musim lalu dari Croatia iaitu Ivan Mamut Ya, pemain ini masih lagi sepi buat musim 2024/2025 selepas beliau dihambat dengan isu kecederaan yang memaksa Mamut diketepikan seketika untuk menjalani pemulihan.
Sehingga kini, Sang Penyu masih lagi belum dapat menggunakan khidmat Mamut dengan mereka terpaksa bersandarkan kepada tiga lagi penyerang import iaitu Nelson Bonilla (El Salvador), Ismaheel Akinade (Nigeria), serta Nnabuike Chukwu (Nigeria).
Walaupun begitu, ketiga pemain tersebut dianggap masih belum cukup untuk sekurangnya menyamai rekod atau impak yang hebat pernah ditinggalkan Mamut pada saingan musim lalu.
Ketumpulan jentera serangan Terengganu jelas dirasai pada musim ini walaupun mereka memiliki rangkaian penyerang dari luar negara untuk menerajui posisi hadapan kelab tersebut.
Ucapan terima kasih perlu diucapkan gandingan Safawi Rasid serta Akhyar Rashid yang memberi begitu banyak sumbangan positif kepada siri serangan Terengganu ketika ini.
GOL!
Ivan Mamut 21'
JDT 1 – 1 Terengganu #DemiLigaKita #PialaMalaysia2023 pic.twitter.com/BQp86QDZtD
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 8, 2023
Persoalannya kini, berapa lama lagi masa diperlukan Mamut untuk kembali memperkukuhkan Terengganu di saingan Liga Malaysia serta kejohanan ACC Shopee Cup?
Menurut Badrul Afzan Razali selaku jurulatih utama Terengganu, beliau sendiri masih belum mengetahui status sebenar penyerang dari Croatia setelah beliau menjalani pembedahan di luar negara.
“Setakat ini kami belum tahu lagi status terkini pemain import itu (Mamut) bila dia akan bersama TFC selepas selesai menjalani pembedahan di luar negara.
“Ini kerana pemain itu sedang menjalani proses pemulihan di negaranya, jadi saya tidak pasti sama ada dia dapat beraksi menentang kelab Myanmar bulan depan atau sebaliknya.
“Harap peminat dapat menunggu makluman rasmi daripada pihak pengurusan, jika pemain itu dapat beraksi ia sudah pasti melegakan kami berdepan kelab itu nanti,” ujar beliau menerusi laporan Harian Metro.
Terengganu yang kini sedang menjalani persiapan sebelum berdepan Shan United dari Myanmar pada 8 Januari akan datang sudah tentu menagih bisa Mamut untuk memperkukuhkan pasukan.
Musim lalu menyaksikan Mamut telah meledak 23 gol bersama 1 bantuan jaringan daripada 35 penampilan secara keseluruhan termasuk di pentas AFC.