Pengendali bola sepak berpengalaman iaitu Nidzam Jamil tampil menjawab tentang persoalan ditimbulkan oleh peminat tempatan mengenai destinasi beliau selepas ini bersama Negeri Sembilan.
Terdahulu, beberapa persoalan ditimbulkan oleh peminat bola sepak negara selepas nama beliau dikaitkan bersama skuad Hoben Jang Hoben selaku pengendali baharu.
Walaupun begitu, tiada sebarang kesahihan dapat dipastikan mengenai masa depan jurulatih tersebut bersama Negeri Sembilan sehingga Nidzam tampil memberi kenyataan.
Jelas Nidzam, beliau enggan mengulas dengan lebih lanjut berkenaan isu tersebut dan tampil menghormati ‘kerja’ yang sedang dilakukan oleh jurulatih pasukan itu kini.
“Di sana ada jurulatih yang sedang melakukan tugas dengan sangat baik. Dah tentu mereka dalam situasi yang sukar, tapi saya tak boleh nak komen apa-apa tentang mana-mana kelab kerana saya hormat jurulatih yang sedang berada di sana.
“Mereka sedang membuatkan pasukan lebih baik. Saya rasa, jawapan saya cuma tak ada apa-apa, sekadar bual-bual dengan beberapa kelab itu saja,” kata beliau menerusi Harian Metro.
🚨Dari Kajang ke Seremban, Nidzam Jamil difahamkan dalam perbincangan menyertai Negeri Sembilan sebagai jurulatih baharu. 🔜@ASTROARENA pic.twitter.com/DRiZOTK73q
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) January 11, 2025
Selain itu, Nidzam mengakui sedia untuk kembali mencipta penampilan di pentas Liga Malaysia (Liga M) selaku jurulatih jika ada kelab mahu akan khidmatnya.
Terdahulu, Nidzam melepaskan jawatan beliau selaku jurulatih utama Selangor selepas tampil dengan cukup positif sebenarnya daripada segi kualiti permainan serta prestasi semasa.
Menerusi reputasi dimiliki beliau, tidak mustahil untuk mana-mana kelab berminat untuk mendapatkan khidmat beliau bagi aksi hadapan selaku pengendali utama dengan Negeri Sembilan antara dikaitkan bersama jurulatih tersebut.
“Saya berehat sekarang bersama keluarga, isteri, anak-anak dan ibu saya, tak banyak yang saya lakukan.
“Saya cuma tumpukan pada perniagaan keluarga kami yang dah setahun lebih saya tinggalkan semenjak menjadi ketua jurulatih awal tahun ini.
“Saya harap (kembali melatih) Insya-Allah. Tetapi itu bergantung kepada ada ke kelab yang mahukan kita, itu persoalannya.
“Tapi sekali lagi saya terbuka untuk berbual, cuma ia mungkin untuk musim depan,” kata Nidzam menerusi perkongsian telah dibuat oleh Harian Metro mengenai perjalanan semasa jurulatih itu.