Bakatnya pernah tenggelam seketika, namun pilihannya menyertai Penang FC untuk saingan Liga Super musim ini menampakkan hasil apabila nama Danial Ashraf mula didendang di kalangan penyokong.
Memang diakui, di zaman remajanya, beliau pernah dilabel pemain berbakat besar dan akan menjadi bintang di masa depan. Namun, entah di mana silapnya, bakatnya gagal digarap dengan lebih baik selepas itu.
Bersama Kelantan sejak usia muda, Danial Ashraf pernah menyertai seketika Harimau Muda sebelum ia dibubarkan pada penghujung 2015. Beliau juga pernah dipanggil Tan Cheng Hoe ke skuad kebangsaan.
Namun, beliau tidak berpeluang beraksi menentang Fiji dalam aksi persahabatan yang telah dilangsungkan pada Julai 2018 itu. Begitupun, ia membuktikan sesuatu, beliau berada dalam radar skuad kebangsaan.
Tan Cheng Hoe Panggil 24 Pemain Untuk Mewakili Skuad Harimau Malaya Menentang Fiji
Bersama Penang FC dalam saingan Liga Super musim ini, Danial Ashraf telah tampil sebanyak 19 kali dengan sembilan kali sebagai pemain skuad utama. Beliau meraih 902 minit permainan dalam musim pertamanya.
Penang FC juga melalui musim sulung kembali ke Liga Super dan paling membanggakan adalah apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC.
Tentunya Danial Ashraf juga memainkan peranan penting buat skuad kendalian Tomas Trucha musim ini.
Dalam 19 penampilannya, Penang FC menang 11 daripadanya, selain merekodkan empat keputusan seri dan empat kekalahan. Beliau juga meledak empat gol musim ini dan salah satunya adalah gol kemenangan.
Ia dilakar ketika menewaskan Sri Pahang 2-1 pada 5 September lalu ketika beliau yang baru sahaja dimasukkan sebagai pemain gantian berjaya meledak gol kedua dan kemenangan Penang FC di minit ke-72.
Bercakap kepada media, Tomas Trucha berkata, “Kami tahu, Danial [Ashraf] adalah pemain yang bagus dan dia boleh menjaringkan gol. Dia segar dan dia memberi sesuatu yang istimewa – gol kemenangan.”
Endrick Dos Santos ‘Rehat’ Panjang, Penang FC Masih Ada Danial Ashraf
“Dia sentiasa bekerja keras ketika latihan dan memiliki potensi yang besar. Jadi, saya gembira untuknya,” ulasnya mengenai pemain berusia 24 tahun itu selepas membantu mereka memenangi perlawanan.
Kekuatan utama Danial Ashraf adalah di posisi belakang penyerang utama, iaitu posisi milik kapten pasukan, Endrick dos Santos. Jadi, jika Penang FC meletakkannya di situ, kita dapat melihat aksinya yang sebenar.
Dalam beberapa perlawanan, Danial Ashraf antara ‘kunci’ yang membuka peluang untuk pasukannya. Ini pernah dilakukannya ketika bersama Kelantan dahulu ketika berada di belakang Mohammed Ghaddar.
Pengendali yang bertanggungjawab mengangkatnya ke skuad utama Kelantan adalah Velizar Popov serta turut melabelkannya sebagai pemain berpotensi untuk menjadi pemain yang berkaliber di masa depan.
Selepas pemergian Velizar Popov, Zahasmi Ismail yang menggantikannya hanya menggunakan Danial Ashraf apabila penyerang, Alessandro Celin mengalami kecederaan dan peluang kedua ini turut dimanfaatkannya.
Namun, perubahan barisan kejurulatihan antara Zahasmi Ismail dan Alfredo Gonzales pada musim 2017 menyaksikan bakatnya kembali tersisih sehinggakan penyokong Kelantan bersuara mahukan pemain-pemain tempatan seperti Norfarhan Muhammad dan Danial Ashraf disenaraikan kembali ke dalam skuad utama.
Perubahan kepimpinan di Kelantan pada musim 2018 dan 2019 telah menenggelamkannya walaupun pernah diberi peluang oleh Yusri Che Lah. Hanya Velizar Popov dan Zahasmi Ismail yang berjaya menggilapnya.
Jadi, apa pandangan penyokong Penang FC dengan prestasi Danial Ashraf setakat ini? Beliau adalah pemain yang boleh dikatakan memiliki kualiti permainan yang hampir sama dengan Endrick dos Santos. Jadi, untuk mendapatkan yang terbaik daripadanya, mereka tidak boleh digandingkan kerana persamaan yang dimiliki.