Bagaimana Melaka United Boleh Guna ‘Title’ Jurulatih Interim Selama Lebih Setengah Musim Pada 2022?

jurulatih interim melaka united asri ninggal

Apa bezanya jurulatih interim Melaka United musim lalu dengan isu terkini yang menyelubungi Penang FC yang secara tiba-tiba muncul di alam maya?

Menerusi satu posting di media sosial rasmi Penang FC, telah dimaklumkan pelantikan Chong Yee Fatt sebagai pengendali berkuat kuasa serta merta.

Seperti yang diketahui, Penang belum melantik secara rasmi pengendali untuk musim ini disebabkan menantikan Manzoor Azwira melengkapkan kursus kejurulatihan Pro AFC yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

Namun, atas faktor tertentu, akhirnya, mereka terpaksa mengalah untuk menanti dan melantik Yee Fatt mengendalikan pasukan pada ketika ini.

‘Puppet coach’? Apa maksudnya?

Dalam kenyataan media Penang FC, ada dinyatakan tentang ‘puppet coach’.

Berikut adalah kenyataan Penang FC yang diambil dari Instagram mereka.

Ada sesuatu yang menarik perhatian daripada kenyataan rasmi tersebut.

Dalam hal ini, spekulasi berhubung penggunaan lesen kejurulatihan atau khidmat ‘puppet coach’ tiada perkaitan dengan Penang FC, yang telah terbukti sentiasa komited dalam mematuhi apa-apa peraturan pelesenan yang ditetapkan oleh FAM dan MFL,” memetik sebahagian kenyataan.

Jadi, apa yang dimaksudkan dengan ‘puppet coach’ seperti yang tertulis?

Jika pembaca pernah ikuti kenyataan oleh Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Satiananthan sekitar Disember 2022, beliau pernah menggunakan terma berkenaan. Menurutnya, terdapat pasukan di Liga Malaysia yang menggunakan jurulatih ‘boneka’ di musim baharu.

Kami menerima laporan untuk musim depan, bukan hanya AFL tetapi juga Liga Super. Kami mendapat berita bahawa seorang jurulatih yang tidak mempunyai lesen Pro mengendalikan pasukan dan mengundang beberapa pemegang lesen Pro tempatan untuk menjadi boneka mereka,” tegas Satia.

Dalam M3, baru-baru ini kami mendengar bahawa mereka [pasukan] melantik jurulatih asing tetapi memerlukan jurulatih tempatan untuk menjadi boneka, manakala kerja-kerja dilakukan oleh jurulatih asing,” tambahnya yang ditemui di Kongres Tahunan PJBM untuk penggal 2022-2026.

Untuk situasi di Penang, Manzoor Azwira adalah jurulatih yang dalam proses melengkapkan kursus kejurulatihan lesennya, sementara Chong Yee Fatt adalah jurulatih yang sudah memiliki lesen yang membolehkannya membawa pasukan tersebut dalam pentas saingan Liga Super 2023.

Oleh yang demikian, pembaca boleh faham mengapa Penang dikaitkan?

Penang cuba lantik Manzoor sebagai jurulatih interim

Menurut kenyataan tersebut, pengurusan pasukan sudah menghantar permohonan untuk melantik Manzoor sebagai jurulatih interim sehingga beliau melengkapkan kursus kejurulatihannya yang dijangka akan selesai dan mendapat lesen tidak lama lagi – dalam beberapa bulan lagi sahaja.

Mungkin atas faktor Liga Super berlangsung pada penghujung Februari dan Manzoor dalam fasa-fasa akhir menyelesaikan kursusnya, Penang mahu memudahkan cara dengan melantiknya sebagai jurulatih interim dahulu.

Jika pelantikan jurulatih baharu dibuat, belanja baharu akan terpaksa dikeluarkan, malah falsafah dan taktikal pengendali juga berbeza antara satu sama lain. Ini akan sedikit sebanyak menjejaskan pembentukkan pasukan yang lebih baik sebagaimana sebelum ini. Ini pernah terjadi.

Manzoor terpaksa menanti agak lama untuk menamatkan kursusnya disebabkan pandemik Covid-19 dan menyaksikan Penang melantik beberapa pengendali lain iaitu Tomas Trucha dan Zainal Abidin Hassan. Ia adalah musim-musim yang mahu segera dilupakan oleh para penyokong.

Terburuk adalah di edisi lepas di mana Penang berada di dasar Liga Super.

Situasi Asri Ninggal di Melaka United pada 2022

Dalam saingan Liga Malaysia musim lalu, Penang dan Melaka United antara pasukan yang melepaskan pengendali mereka sebelum musim berakhir.

Malah, Selangor FC juga melalui situasi melantik jurulatih interim iaitu Nidzam Jamil untuk menggantikan Michael Feichtenbeiner pada Ogos.

Dan pada September, pengurusan Selangor telah melantik Tan Cheng Hoe.

Tomas Trucha dilepaskan Harimau Kumbang pada bulan Mei dan Manzoor menjadi jurulatih interim. Namun, ia hanya sebulan. Difahamkan operator, Malaysian Football League (MFL) mahu jurulatih sebenar segera dilantik.

Berbeza pula dengan situasi di kem Melaka United selepas Risto Vidakovic dilepaskan. Asri Ninggal dilantik sebagai jurulatih interim sejak April hingga ke penghujung musim pada Oktober. Ia satu tempoh masa yang lama.

Bagaimana Asri mendapat kebenaran sebegitu rupa sedangkan pasukan seperti Selangor dan Penang mungkin telah mengikut arahan diberikan.

Adakah masalah kewangan menyebabkan Melaka United dibenarkan untuk menggunakan jurulatih interim lebih lama berbanding pasukan lain?

Malah, Asri yang kini merupakan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka juga seperti Manzoor, dalam fasa melengkapkan kursus.

Bersandarkan artikel oleh Cakap Sukan ini, Asri juga merupakan salah seorang jurulatih yang terlibat dalam kursus yang disertai oleh Manzoor. Oleh itu, beliau juga belum layak mengendalikan pasukan Liga Super.

Tetapi, tempoh beliau menjadi jurulatih interim Melaka United adalah lebih dari sebulan, tidak seperti Nidzam di Selangor dan Manzoor di Penang.

Mungkinkah terdapat perubahan dalam syarat pertandingan musim ini? Atau mungkin disebabkan di Penang, mereka ada Yee Fatt yang sudah layak untuk menjadi pengendali utama? Semuanya masih jadi tanda tanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN