Perjalanan karier bintang muda Indonesia, Marselino Ferdinan ketika ini di Belgium masih lagi menjadi tanda tanya jika beliau akan terus kekal atau kembali beraksi dalam saingan tempatan pada masa hadapan.
Apa tidaknya, pemain tersebut ketika ini masih lagi belum ditawarkan kontrak baharu bersama kelab divisyen kedua Belgium iaitu KMSK Deinze selepas menempa sejarah baharu beraksi di sana.
Nama Marselino sebenarnya boleh dianggap cukup besar ketika ini dalam dunia bola sepak Indonesia, selepas impak positif dibawanya bersama pasukan tersebut di pentas antarabangsa.
Aksi positifnya itu berjaya menarik minat salah satu kelab di Belgium untuk menandatangani khidmatnya pada awal tahun lalu sehingga memberi kegembiraan buat para penyokong setia Sang Garuda.
Walaupun begitu, perjalanan Marselino di Belgium nyata tidak begitu memberansangkan selepas beliau hanya diberi peluang beraksi dalam beberapa perlawanan sahaja serta lebih banyak memanaskan bangku simpanan.
Melihat kepada perjalanan Marselino kini bersama KMSK Deinze semakin kelam, beberapa persoalan timbul jika kontraknya akan terus bersambung atau dirinya bakal kembali menyertai saingan Indonesia.
Walaupun begitu, Marselino sudah pun menyatakan beliau akan terus kekal di Eropah pada masa hadapan untuk melanjutkan lagi karier profesional dalam dunia bola sepak.
“Ya, saya masih lagi akan kekal beraksi di saingan Eropah, lihat sahaja nanti pengumuman seterusnya mengenai perjalanan karier saya,” ujar beliau menerusi perkongsian Bola.com.
Jika ditelusuri perjalanan karier Marselino, beliau jelas lebih banyak memberi sumbangan besar buat pasukan kebangsaan Sang Garuda berbanding diberi peluang buat KMSK Deinze di Belgium.
Selain aktif beraksi buat skuad bawah 23 (B-23), nama Marselino juga sentiasa menjadi pertaruhan penting buat Shin Tae-yong dalam kejohanan besar di pentas antarabangsa termasuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026.
Kualiti beliau jelas tidak dapat dinafikan lagi walaupun beliau kurang diberi kepercayaan KMSK Deinze sebelum ini selaku dalam kesebelasan utama atau untuk mendapatkan banyak minit permainan.
Kebarangkalian untuk Marselino terus kekal di Belgium juga sangat tinggi walaupun dirinya mungkin tidak bersama KMSK Deinze atau dirinya bakal membuka haluan baharu ke negara Eropah lain seperti England pada masa hadapan.
Pada usia masih muda, Marselino masih memiliki perjalanan karier yang masih panjang serta lebih banyak cabaran besar menanti beliau untuk bergelar bintang utama bola sepak Asia Tenggara.