Bagaimana Kim Swee Buat Son Heung-min & Korea Selatan ‘Menangis’ 4 Tahun Lalu? Ini Pendedahannya

Malaysia B-23 Korea Selatan B-23 Sukan Asia 2018 Son Heung-min Ong Kim Swee

Bekas pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee pernah dedahkan bagaimana beliau mendalangi kemenangan sensasi 2-1 mereka ke atas Korea Selatan dalam saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Korea Selatan ketika itu dibarisi bintang sensasi Tottenham Hotspur yang musim ini meraih Kasut Emas dalam saingan English Premier League (EPL), Son Heung-min. Beliau diterbangkan khas untuk membantu mereka memenangi pingat emas. Sukan Asia tidak termasuk dalam kalender FIFA dan kelab berhak menghalangnya.

Tambahan pula, tarikh bermula Sukan Asia bertindih dengan saingan EPL yang bermula pada bulan Ogos.

Son Heung-Min Bermotivasi Tinggi Mahu Raih Medal Kejuaraan Sukan Asia

Son akhirnya dilepaskan Spurs untuk terbang ke Indonesia bagi membantu misi mereka memenangi pingat emas. Beliau juga ada misi peribadi yang mahu dilunaskan iaitu pengecualian dari program latihan khidmat negara di negaranya. Spurs juga akan mendapat untung jika beliau tidak perlu menjalani program tersebut.

Ini kerana program tersebut adalah untuk tempoh masa dua tahun. Bayangkan Spurs beraksi tanpa Son.

Tiada aksi Son bersama Spurs untuk tempoh dua tahun. Ia perkara yang mahu dielak kelab EPL tersebut.

Apa yang perlu dilakukan Korea Selatan dan Son adalah memenangi pingat emas di Sukan Asia 2018.

Ketika Prestasi Memuncak, Son Heung-Min Perlu Tinggalkan Bola Sepak 21 Bulan Atau Dipenjara

Itulah pentingnya pingat emas temasya tersebut buat mereka. Diundi sekumpulan bersama Malaysia, Bahrain dan Kyrgyzstan, ramai menjangkakan yang Taegeuk Warriors akan mudah melepasi ke pusingan 16 terbaik.

Begitupun, mereka telah dikejutkan dalam perlawanan kedua kumpulan apabila ditundukkan Malaysia 1-2.

Terduduk kaku Son bersama rakan sepasukan apabila mereka tewas kepada skuad kerdil Asia Tenggara.

Begitupun, itulah satu-satunya kekalahan mereka di Sukan Asia apabila selepas itu mereka mara sehingga ke pentas akhir seterusnya memenangi pingat emas kejohanan tersebut apabila telah menewaskan Jepun 2-1.

2018 adalah tahun terbaik skuad B-23 kendalian Kim Swee. Sebelum Sukan Asia, mereka mara sehingga ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 pada Januari sebelum dikecewakan Korea Selatan 1-2 di minit-minit akhir.

Melangkah ke Sukan Asia dengan tambahan kekuatan tiga pemain lebih umur, tentunya Korea Selatan lebih yakin. Namun, mereka dikejutkan dengan dua gol Safawi Rasid di babak pertama sebelum bangkit mengejar. Begitupun, mereka hanya berhasil melakar satu gol menerusi Hwang Ui-jo, tiga minit sebelum wisel penamat.

Berkongsi kepada GOAL Asia, Kim Swee mendedahkan tentang rancangannya berdepan lawan yang baru membelasah Bahrain 6-0 dalam aksi pertama kumpulan. Malaysia pula menang 3-1 ke atas Kyrgyzstan.

“Selepas perlawanan kami, Korea berdepan Bahrain dan seperti biasa kita akan turun untuk melihat aksi lawan kita. Cuba bayangkan, dalam 30 minit aksi, Korea sudah tiga atau empat gol di depan dan babak pertama berakhir dengan kedudukan 5-0. Korea ketika itu seperti berada di mana-mana, terutamanya di ‘attacking third’. Untuk itu, saya telah fikirkan pelan – pertama, perlu realistik dan untuk imbangkan kerosakan. Lihat Bahrain, mereka ingat mampu bersaing secara terbuka dengan Korea.”

Datuk Ong Kim Swee, GOAL Asia

Jadi, apa pelan Kim Swee? Beliau tidak duduk sehingga ke wisel penamat untuk perlawanan itu. Beliau tahu natijahnya Bahrain bermain secara terbuka berdepan Korea Selatan yang ampuh dari segenap sudut.

Dalam sesi latihan bersama pasukan keesokkan harinya, beliau secara telitinya memberi penerangan kepada para pemain tentang bagaimana untuk membendung Korea Selatan terutamanya ketika berdepan ancaman.

Arahan Kim Swee mudah tetapi efektif. Apa yang penting, mereka tidak boleh beri Korea Selatan masa dan ruang ketika mereka memiliki penguasaan. Disiplin berpasukan sangat penting dalam setiap bahagian termasuk jentera tengah dan serangan, yang mana mereka akan turut terlibat ketika pasukan dalam fasa bertahan.

“Apa yang saya lakukan adalah memastikan setiap pemain berada di belakang bola apabila berada di kawasan sendiri. Ini untuk mengurangkan ruang kepada mereka dengan padatkan kawasan tengah.

“Kita paksa mereka untuk ke sebelah sisi dan tidak benarkan mereka beroperasi di tengah. Kita beri mereka ruang itu kerana apabila ada hantaran lintang dan ‘cut-back’, kita sentiasa akan ada orang untuk pintas. Korea adalah pasukan yang kuat dan apabila anda cuba halang mereka, mereka akan cari jalan lain. Kita perlu ambil risiko dan membuat mereka kurang pilihan. Jadi, ideanya adalah tolak mereka ke sisi kerana saya yakin kita boleh bendung mereka apabila pemain tengah dan serangan turun membantu di bawah.”

Seperti dijangka, Taegeuk Warriors mengawal keseluruhan permainan tetapi barisan pemain di benteng diketuai oleh pemain lebih umur, Rizal Ghazali bersama Haziq Nadzli, Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Dominic Tan dan Syazwan Andik kental bertahan. Malaysia bergantung kepada ‘counter-attack’ dan ia tampak sangat membantu.

Pemain sayap dan penyerang seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad mempamer kelincahan dan kepantasan mereka. Hasilnya Safawi Rasid berjaya meledak dua gol sebelum berakhir babak pertama.

“Kami telah memberi arahan apa yang perlu dilakukan selepas merampas penguasaan bola. Saya ada Safawi dan Akhyar yang pantas serta Syafiq yang boleh mengekalkan penguasaan bola di atas. Jadi, setiap kali kami memenangi bola di kawasan sendiri, pemain terhampir perlu bergerak ke depan. Dua pemain sayap akan naik ke atas untuk mencipta ruang untuk kami bermain. Goal-gol yang dijaringkan adalah seperti yang kita rancangkan ketika sesi latihan. Apa yang dilakukan ketika latihan berjaya direalisasikan.

“Sudah tentu saya memberitahu pemain kita yang Korea sangat ampuh tetapi dengan taktikal yang betul dan disiplin di kalangan pemain, kami akan memiliki peluang untuk membendung permainan mereka.

“Sudah tentu [membendung Son] tetapi saya tidak percaya dengan kekuatan seorang pemain. Mereka ada beberapa pemain Piala Dunia dan pemain B-23 yang bagus. Kami telah bertemu mereka ketika saingan AFC B-23. Jadi, apabila beliau bermain, arahannya adalah sentiasa merapatinya apabila dia mendapat bola. Secara psikologinya, saya minta pemain kita supaya lebih keras ke atasnya agar dia takut. Sudah tentu dia tidak mahu mengalami kecederaan dalam perlawanan seperti ini ketika saingan EPL masih berlangsung.

“Anda dapat lihat bagaimana Rizal mengawalnya. Apabila kita minta Rizal ‘buat’ sesuatu, dia akan lakukan.”

Ong Kim Swee, GOAL Asia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN