Jika tidak kerana ledakan Sheriddin Boboev, Penang FC tentunya sudah terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang UiTM FC dalam aksi Liga Super pada Rabu.
Ia bukan perlawanan yang mudah buat kedua-dua pasukan. Penang FC yang turun buat kali pertama selepas perlawanan pada hujung minggu bertemu Kedah ditunda tercari-cari rentak untuk beraksi walaupun melalui siri aksi persahabatan sebelum ini.
Sementara UiTM FC pula yang beraksi ditahap memberangsangkan ketika tewas 1-3 kepada JDT tempohari dilihat bijak menaksir percaturan ‘baharu’ Manzoor Azwira.
Penang FC Uji Formasi Taktikal Baharu Untuk Pusingan Kedua Liga Super?
Barangkali Frank Bernhardt telah mengkaji formasi taktikal yang diterapkan Penang FC ketika siri aksi pemanas badan sebelum liga kembali bersambung yang membantu mereka menyerap segala tekanan dan asakan yang cuba diatur oleh pelawat.
UiTM FC turun sekali lagi dengan formasi 4-2-3-1 memperlihatkan Frank Bernhardt menggunakan dua pemain tengah bertahan iaitu Ousmane Fane dan Alif Samsudin sebagaimana ketika berdepan JDT. Perubahan pemain hanya berlaku di benteng.
Hanya kapten, Victor Nirennold dikekalkan di benteng untuk aksi berdepan Harimau Kumbang. Ia satu perubahan yang sangat berani tetapi berbaloi buat UiTM FC.
Babak pertama berakhir dengan kedudukan 0-0 dan skuad kendalian Manzoor Azwira gagal meledak gol walaupun berpeluang untuk melakukannya seawal minit ke-10 menerusi rembatan kapten, Endrick dos Santos yang ditepis Zamir Selamat.
Zamir Selamat sekali lagi menjadi penyelamat pada minit ke-62 apabila percubaan penyerang skuad kebangsaan Tajikistan, Sheriddin Boboev pula berjaya ditepisnya.
Selain kecemerlangan Zamir Selamat, pertahanan UiTM FC juga mengehadkan ruang untuk pasukan pelawat. Empat benteng dibantu dua pemain tengah bertahan berhasil menggagalkan jentera serangan lawan untuk memecah masuk lebih dekat ke gawang.
Ini menyebabkan perlawanan lebih mendatar dengan Penang FC yang ketika bertahan membentuk lima pemain pertahanan juga menyulitkan situasi. Jentera serangan UiTM FC yang digerakkan Joel Vinicius juga tampak gagal menguji Sam Somerville.
Manzoor Azwira mempertaruhkan dua muka baharu yang tidak pernah turun beraksi lagi sejak awal musim lalu iaitu Syazwan Zaipol dan Marcus Mah. Kedua-duanya berjaya memberi prestasi yang sangat baik sebelum perubahan pemain dilakukan.
Minit ke-72, dua pemain dimasukkan iaitu Danial Ashraf dan penyerang pinjaman dari KL City, Azim Rahim. Endrick dos Santos yang sebelum itu menggerakkan jentera serangan, kembali ke jentera tengah dan bergandingan bersama Danial Ashraf.
Jika gandingan Marcus Mah dan Al-Hafiz Harun lebih neutral dan dilihat kurang tajam dalam cubaan meruntuhkan kubu ‘liat’ The Lions, suntikan perubahan di jentera tengah telah memberi nafas baharu percaturan buat Harimau Kumbang selepas itu.
📹 HIGHLIGHTS: @uitmfclions 0-1 @fa_penang
Penang FC memperolehi kemenangan berharga ke atas UiTM FC hasil gol tunggal penyerang dari Tajikistan, Sheriddin Boboev pada babak kedua.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/8KdCA59GU0
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 28, 2021
Hasilnya, berpunca daripada gerakan yang dimulakan oleh hantaran jauh Syazwan Zaipol berjaya menemui Danial Ashraf yang sedang berlari di sebelah sayap kanan.
Beliau yang dikawal ketat Ariff Ar-Rasyid telah menguis bola ke depan kepada Quentin Cheng yang membuat larian overlapping seterusnya telah melambung bola ke depan gawang yang dikeluarkan dengan kurang kemas oleh pertahanan tuan rumah.
Bola itu tiba di kaki Sheriddin Boboev yang dilihat tenang menampan terlebih dahulu sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan Zamir Selamat di gawang.
Dengan tekanan yang dilakukan pertahanan lawan, Sheriddin Boboev menggunakan pengalamannya menyudahkan peluang itu. Jika pemain lain yang berada di posisi tersebut, tentunya ia disudahkan dengan rembatan half volley yang sia-sia.
Gol kedua peribadi Sheriddin Boboev itu memberikan tiga mata berharga buat Penang FC yang telah mengumpul 25 mata. Ia juga merapatkan jurang mata dengan pasukan di kedudukan ketiga dan musuh ketat, Kedah yang telah mengumpul 26 mata.