Pada satu petang tahun 1996, Jorge Griffa memanggil anaknya, Diego, yang baru selesai menjalani latihan pasukan belia Newell’s Old Boys. Diego segera berjalan ke arah bapanya. Sebaik anaknya sampai, Jorge memberitahu Diego, “Nak jadi jurulatih tak?”. Diego menoleh ke muka bapanya — terkejut dengan cadangan bapanya. “Dengar sini,” kata Jorge. “Bakat sebenar kamu bukan sebagai pemain. Tapi sebagai jurulatih. Kamu ada bakat yang tak ramai orang ada.” Cadangan Jorge itu bukan sahaja mengubah bola sepak Argentina, malah Malaysia juga.
Sejak berumur empat tahun, Ketua Unit Pencarian Bakat & Pembangunan Belia JDT itu berazam untuk menjadi pemain Newell’s Old Boys. Untuk bermain di Primera División. Tetapi apabila bapanya sendiri memberitahu masa depannya adalah sebagai jurulatih, dia tak membantah. Siapalah dia untuk membantah? Bapanya, Jorge Griffa, bukan sembarangan orang.
Nama Jorge Griffa sebagai peninjau bakat dan jurulatih belia dikenali seantero Argentina. Bekas pertahanan Atletico Madrid era 60-an ini bertanggungjawab membawa nama-nama besar seperti Marcelo Bielsa, Jorge Valdano, Gabriel Batistuta, Gerardo Martino, Gabriel Heinze, Maxi Rodriguez dan Mauricio Pochettino ke Akademi Newell’s. Apabila Jorge bekerja di Boca Juniors, beliau membawa Tevez, Fernando Gago, Ever Banega dan Nicolas Burdisso ke sana.
Dari pemain kepada jurulatih
Peralihan haluan karier Diego Griffa daripada pemain kepada jurulatih tidak mudah. Bapanya menegaskan dia perlu bermula dari bawah. “Saya bermula dengan membantu mentor pertama saya, Roque Alfaro, dalam sesi latihannya. Beliau banyak mengajar saya cara menyediakan latihan teknikal dan taktikal,” cerita Diego.
Selepas beberapa tahun berguru dengan Alfaro, Diego Griffa menaikkan darjah kesukaran dengan mengurus kelab bola sepak amatur yang dinamakan sempena nama bapanya, Asociación Atlética Jorge Griffa. “Projek ini mengajar saya betapa susahnya mengurus kelab, dari peringkat akar umbi sampailah menangani cabaran-cabaran sebagai kelab amatur,” jelas Diego. Kesukaran ini, bagaimanapun, berjaya ditangani satu-persatu hasil tunjuk ajar bapanya.
Evolusi Diego Griffa, dari pemain sederhana kepada pengesan bakat dan jurulatih belia berbakat besar, membukanya pelbagai peluang di dalam dan luar Argentina. Peluang yang merentasi puluhan tahun. Yang membolehkan Diego mempunyai ‘mata’ mengesan Lisandro Martinez, Giovani Lo Celso, Ezequiel Barco, Walter Montoya, Cesar Meli dan ramai lagi. Mata Diego bukan sekadar mengesan bakat, malah posisi terbaik juga. Dia bertanggungjawab menukar posisi Lisandro Martinez, daripada penyerang kepada pertahanan. Sumbangannya diakui oleh pertahanan Manchester United itu sendiri.
Jika kelebihan mata Diego adalah mengesan pemain muda berkualiti, kelebihan mata pemilik JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, adalah mengesan staf berkualiti. Atas sebab inilah yang membolehkan skil, pengetahuan dan pengalaman Diego dapat dibawa ke Malaysia.
Perbezaan budaya bola sepak Argentina dengan Malaysia
Perjalanan Diego Griffa di Malaysia bermula pada November 2021. Di JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, memberi autonomi kepada Diego untuk melakukan kerja sama yang dibuat bapa Diego untuk Newell’s Old Boys selama empat dekad.
Sebagai Ketua Unit Pencarian Bakat & Pembangunan Belia JDT, Diego bertanggungjawab untuk mempersiapkan JDT dengan generasi-generasi pemain elit belia dari seluruh Malaysia. Untuk mencari pemain-pemain ini, dia perlu cakna dengan perbezaan budaya bola sepak Argentina dengan Malaysia.
“Ekosistem bola sepak Malaysia masih dalam peringkat pembangunan lagi. Bakat dan potensi itu dah ada. Tapi di Argentina, persekitaran bola sepak kompetitif dah bermula sejak umur 6 tahun lagi. Pemain dah didedahkan dengan pertandingan, kejohanan, liga tempatan dan sistem kelab sejak awal lagi.
“Malaysia bertuah kerana ada JDT. Sebab di Argentina sendiri pun, tak banyak kelab yang mempunyai infrastruktur dan sumber bertaraf dunia seperti Akademi JDT. Cuma malangnya, kami di JDT tak mempunyai persekitaran kompetitif dan berstruktur yang cukup di peringkat belia seperti di Argentina untuk memaksimumkan potensi pemain.
Sebab itulah JDT aktif menyertai kejohanan dan liga belia di luar negara. Pada tahun ini, Akademi JDT telah meraih pelbagai kejayaan, termasuk menewaskan Barcelona Bawah-15 di Liga Belia Singapura 2024. Pada tahun 2023 sahaja, Akademi JDT telah berjaya mengumpul sembilan trofi dalam dan luar negara—satu testimoni kecemerlangan model pembangunan pemain belia mereka.
Sumbangan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, kepada bola sepak Johor dan Malaysia diakui sendiri oleh Diego Griffa. “Pengaruh, sokongan dan visi baginda sangat-sangat penting untuk menaikkan kualiti infrastruktur dan semangat kompetitif Malaysia,” katanya. Beliau turut optimis JDT akan terus memainkan peranan sebagai peneraju kenaikan standard bola sepak Malaysia dan Asia. “JDT sentiasa memperbaiki mutu kelab dan pantas beradaptasi. Saya yakin JDT akan terus menjadi lebih besar dan akan memberi impak signifikan dalam bola sepak Malaysia dan Asia.”
Hasil kerja Diego Griffa dan bapanya di Argentina telah melahirkan banyak pemain berkualiti dunia untuk La Albiceleste. Terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, kini giliran JDT pula menerima hasil kerja Diego dan ilmu bapanya. Tempiasnya akan dinikmati pula oleh Harimau Malaya pada masa akan datang.
Sumber:
Fulbito. (n.d.). Hablemos con Diego Griffa Head scout JDT Malasia – Masterclass en scouting – Fulbito con Lobito [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=LYrg_knETPU&ab_channel=Fulbito
ESPN. (n.d.). The man who shaped Argentine football and discovered Pochettino, mentored by Bielsa and many more. ESPN. https://www.espn.com/soccer/story/_/id/37574835/man-shaped-argentine-football-discovered-pochettino-mentored-bielsa-many-more
Cenital. (n.d.). Lisandro Martínez [Photograph]. Retrieved from https://cenital.com/nos-fuimos-mundial/album/lisandro-martinez/
Official Johor. (2021, Nov 1). [Tweet]. Twitter. https://x.com/OfficialJohor/status/1455146221224415232