Bagaimana JDT Konsisten Di Atas Dan Di Luar Padang

Adat bertanding: ada menang, ada kalah. Kemudian ada pasukan lain—pasukan yang ‘melawan’ adat itu. Yang mendefinisikan semula apa ertinya dominasi. JDT adalah pasukan tersebut. Perjalanan JDT dari tahun 2013 bukan sekadar menceritakan kejayaan di atas padang, malah turut membuktikan keberkesanan perancangan dan visi pemiliknya, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Setiap minggu, sejak 2013, DYAM Tunku Mahkota Ismail akan mengadakan ‘stand-up meeting’ mingguan. Setiap bahagian operasi kelab perlu melaporkan tiga perkara kepada baginda:

  • Apa yang anda buat pada minggu ini?
  • Apa yang anda akan buat pada minggu depan?
  • Apa masalah yang anda hadapi?

Ada orang panggil ‘micro management’. Ada orang panggil ‘hands-on management’. Tetapi inilah etika kerja DYAM Tunku Mahkota Ismail yang membuatkan dominasi JDT berterusan. JDT diurus seperti sebuah projek. Sebagai projek, ia mempunyai jangka masa, titik pencapaian dan individu yang dipertanggungjawabkan. Ia anjal. Tetapi impaknya teguh merentasi masa dan sempadan Johor.

Impak inilah yang dimaksudkan dengan ‘The TMJ Effect’.

Penyesuaian fizikal: asas konsistensi

Bayangkan dunia di mana pemain, disebalik bakatnya, disekat potensinya kerana standard latihan yang rendah. Inilah realitinya di Malaysia tidak lama dahulu. Pemain memberikan 100% semasa latihan, tetapi dikecewakan oleh kualiti fasiliti, sehinggakan ada pasukan yang berlatih di padang kawasan perumahan. Tukar baju pun di depan orang ramai.

JDT mengubah naratif ini. DYAM Tunku Mahkota Ismail memastikan pemain-pemainnya mempunyai akses ke fasiliti bertaraf dunia. Dari peralatan pemulihan canggih hingga ke pelan nutrisi yang ‘custom’. Tumpuan kepada perinician ini bukan sekadar membantu JDT mengelak kecederaan—ia memastikan setiap pemain boleh mendapat ‘marginal gains’, perlawanan demi perlawanan. Musim demi musim. Akhirnya, satu demi satu pasukan Liga Super mengikuti standard sama. Pemain menuntut kelab masing-masing menaiktaraf fasiliti latihan. Kesan ‘ripple’ The TMJ Effect semakin mula kelihatan.

Kemudian, lihat pula cara JDT mengurus kecederaan Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Syamer Kutty. Kecederaan mereka berpotensi menamatkan karier mereka lebih awal. Tetapi hasil sokongan perubatan JDT yang bertaraf dunia, Syafiq, Safawi dan Syamer dapat menerima rawatan dari Dr Juan Manuel Boffa. Servis bertaraf dunia pakar bedah, yang pernah bekerja dengan pemain-pemain Barcelona dan Man City, ini membolehkan JDT memberikan rawatan terbaik kepada mereka berdua.

Perfect Pitch: penanda aras di dunia

Padang berkualiti bukan sekadar untuk bermain bola sepak—ia adalah aset strategik kelab. DYAM Tunku Mahkota Ismail mempunyai kesedaran ini dari awal. Hanya baginda yang teguh dengan pendirian, mahu JDT bermain di padang terbaik, sejak dari zaman Stadium Tan Sri Hassan Yunos. Hasilnya? Hanya JDT yang mampu bermain bola sepak bertempo tinggi dan menyerang, setiap minggu, di Malaysia sehingga kini.

Hanya baginda yang konsisten menyeru semua kelab supaya menaik taraf mutu padang masing-masing—sehingga ke tahap memberi geran RM300,000 dari poketnya sendiri.

Sepuluh tahun lepas, tiada siapa pun bising tentang penjagaan padang. Tetapi hari ini, hasil inspirasi daripada standard DYAM Tunku Mahkota Ismail, kelab-kelab lain mula menaikkan standard—waima dengan cara masing-masing. “Terima kasih kepada [DYAM Tunku Mahkota Ismail]. Kalau tak pasal [baginda], lagi ke belakang kita [dalam aspek penjagaan rumput stadium],” akui En. Normas Yakin, penyelia rumput Stadium MBPJ.

Asas kelab: kunci kesinambungan kejayaan

Dalam bola sepak, konsistensi sesebuah pasukan mudah diancam apabila ketua jurulatih datang dan pergi. Tetapi lain ceritanya bagi JDT. Sepuluh ketua jurulatih datang dan pergi dalam masa sebelas tahun, tetapi halatuju JDT tetap sama: ke hadapan.

Bagaimana DYAM Tunku Mahkota Ismail melakukannya? Jawapannya terletak kepada kesediaan asasnya.

Kualiti fasiliti latihan? Check.
Kualiti fasiliti luar padang? Check.
Kebajikan pemain terjaga? Check.
Kualiti padang? Check.
Kualiti akademi? Check.
Falsafah permainan diterapkan? Check.
Budaya kelab diterapkan? Check.

Lima asas pertama—percaya atau tidak—merupakan asas yang paling senang. Jika anda menyalurkan dana kelab untuk fasiliti (berbanding untuk gaji pemain semata-mata), anda boleh ada kelima-limanya dalam masa singkat. Tetapi ‘sos rahsia’ konsistensi JDT terletak kepada dua asas terakhir: falsafah permainan dan budaya kelab.

Dari 2013 hingga sekarang, cara JDT bermain boleh disuling kepada lima identiti: hantaran pendek, tempo tinggi, menyerang, bertahan dengan menguasai bola dan mempromosi pemain muda. Inilah cara JDT bermain—waima siapa pun ketua jurulatihnya dan di pertandingan apa pun. JDT akan mempamerkan falsafah permainan yang sama ketika mendahului pasukan Liga Super 3-0 atau ketika ketinggalan 0-2 kepada gergasi Jepun di AFC Champions League.

Falsafah sahaja tidak memadai jika budaya tak diubah. Juara dibentuk oleh kebiasaannya. Michael Phelps menjadi juara bersiri kerana biasa berenang 80km seminggu. ‘Mamba Mentality’ membiasakan Kobe Bryant buat 400 lontaran sehari ketika di luar musim. JDT turut menyelami mentaliti sama. Setiap pemain wajib melalui ujian fizikal dan kesihatan dengan kerap setiap tahun. Fasiliti kelab dinaiktaraf setiap tahun—rosak atau tak rosak—sebagai rutin. Budaya sentiasa memperbaiki diri sendiri inilah ‘sos rahsia’ JDT.

Apabila semua asas-asas ini dijaga, serapi DYAM Tunku Mahkota Ismail menjaganya di JDT, hasilnya kelab menjadi konsisten.

Sejak April 2021 sehingga artikel ini ditulis, JDT tidak pernah kalah dalam 64 perlawanan Liga Super. Di luar padang, konsistensi strategi pemasaran Harimau Selatan telah pun menarik deretan jenama-jenama bertaraf antarabangsa untuk menjadi penaja kelab. Aset-aset kelab telah pun menjadi destinasi wajib kunjung oleh lebih sembilan juta pelancong Johor setiap tahun—menjana pendapatan buat kelab.

Sama ada cara JDT menjaga dua asas ini akan diikuti oleh kelab-kelab Liga Super lain atau tidak, itu soalan untuk masa depan. Tetapi apa yang pasti, pendekatan DYAM Tunku Mahkota Ismail mengurus JDT bukan sekadar strategi, ia rangka tindakan, bagaimana mencapai kejayaan secara konsisten.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN