Bagaimana JDT Bentuk Persekitaran Berkualiti Jadikan Pertandingan Elit Asia Jadi Pentas Pemain Muda Tempatan Untuk Menyinar

Dua gol yang dihasilkan Arif Aiman untuk membantu JDT merakam kemenangan pertama di saingan peringkat kumpulan pertandingan AFC Champions League (ACL) musim ini menewaskan BG Pathum mencuri perhatian ramai pemerhati bola sepak tempatan di dalam dan luar negara.

Jaringan pertama pemain sayap itu menampilkan sentuhan pertama penuh ketenangan apabila Arif menyambut hantaran jauh Jordi Amat sebelum menewaskan penjaga gol BG Pathum, Chatcai Budprom.

Gol minit ke-6 itu tampak mudah hasil gerakan ringkas daripada satu hantaran jauh. Namun butirannya mendedahkan perkara sebaliknya. Kebijaksanaan Arif mempergunakan ‘blind spot’ di belakang pemain pertahanan lawan sebelum melepasi perangkap offside kebiasaannya hanya tampil di pertandingan ‘top level football’.

Harus diingat JDT pada ketika itu ketinggalan 0-1 selepas jaringan hasil sepakan penalti Victor Cordozo yang agak kontroversi. Tatkala kedudukan tersebut boleh menjatuhkan moral sesebuah pasukan di awal perlawanan, jaringan pantas oleh Arif seminit selepas itu memastikan JDT kembali ke landasan untuk memburu tiga mata dalam perlawanan ini.

Sumber: JOHOR Southern Tigers

Jaringan kedua pemain berusia 21 tahun itu pula dihasilkan pada minit ke-78  pada ketika JDT sedang mendahului lawan mereka itu 3-2.

Dalam permainan terbuka dan menghiburkan seperti yang ditampilkan oleh kedua-dua pasukan – yang terdesak memburu kemenangan – BG Pathum berada di dalam kedudukan memberi tekanan untuk memburu jaringan penyamaan.

Sekali lagi Arif tampil memadam harapan The Rabbits dengan ketenangannya. Konsisten menjadi ancaman utama dari sayap kanan, Arif Aiman merembat daripada sudut yang sempit menewaskan Budprom di near post.

Keraian Arif Aiman untuk jaringan keduanya boleh difahami. Keraian gol yang dipopularkan oleh penyerang Manchester United Marcus Rashford itu adalah simbolik kepada fokus, kebijaksanaan, selain daripada kekuatan mental yang menjadi kekuatan seseorang pemain yang melangkaui keazaman semata-mata.

Lebih menarik perlawanan ini bukan sahaja menampilkan kemampuan Arif dalam menyumbang ancaman di bahagian hadapan. Gandingan pemain muda ini dengan Matthew Davies turut membantu meneutralkan ancaman BG Pathum dari arah sayap kiri.

Akaun rasmi X (dulunya dikenali sebagai Twitter) AFC Champions League kemudiannya turut menggelar Arif Aiman sebagai Golden Boy. Dan sentuhan penyudah pemain itu untuk jaringan pertamanya dilabel sebagai ‘masterclass’ oleh pemerhati luar negara.

Lebih menarik Arif Aiman bukan satu-satunya pemain tempatan JDT yang menikmati perlawanan di pentas elit Asia pada malam itu.

Gandingan Hong Wan dan Afiq Fazail di bahagian tengah turut menampilkan aksi terpuji dalam perlawanan ini.

Sumber: AFC

Heat map di atas menunjukkan bagaimana kehadiran kedua-dua pemain meneutralkan jentera tengah BG Pathum khususnya ancaman daripada Chanatip Songkrasin yang kaya dengan pengalaman beraksi di pentas tertinggi bola sepak Asia.

Sumber: AFC

Rajah di atas pula menampilkan distribution kedua-dua pemain yang dominan di tengah dalam memastikan transisi permainan JDT berjalan lancar sepanjang perlawanan.

Tatkala Afiq Fazail dilihat sudah bergelar pemain senior dan konsistem menjadi pilihan utama di jentera tengah JDT di bawah bimbingan beberapa jurulatih skuad Harimau Selatan sejak beberapa musim lalu, kematangan Hong Wan yang baru mencecah usia 23 tahun dilihat sebagai ‘the next big thing’ di dalam skuad JDT.

Sumber: JOHOR Southern Tigers

Walaupun hanya tampil sebagai pemain gantian pada babak kedua pula, Feroz Baharuddin turut tidak ketinggalan menampilkan kemampuan dan potensinya dalam perlawanan ini.

Data daripada AFC seperti di bawah menunjukkan Feroz menghasilkan tiga recoveries penting dalam perlawanan tersebut untuk melindungi benteng pertahanan JDT.

Sumber: AFC

Perkembangan potensi dan perjalanan pemain tempatan seperti Arif Aiman, Hong Wan, Afiq Fazail dan Feroz bersama JDT sejak beberapa musim lalu sememangnya sering dibincangkan.

Limitasi dan potensi Arif misalnya sukar dibayangkan berdasarkan peningkatan yang dihasilkannya saban musim.

Selain daripada kemampuan teknikal di atas padang, pemain seperti Hong Wan dan Feroz turut memanfaatkan pertandingan elit Asia seperti ACL ini untuk terus mematangkan permainan mereka – mencabar diri bersaing dengan pemain-pemain terbaik di rantau Asia.

Kita semua sudah pasti mahu melihat lebih banyak bakat seperti Arif Aiman, Feroz, Hong Wan atau Afiq mampu dihasilkan di negara ini terutamanya untuk pasukan Harimau Malaya.

Realitinya persekitaran dan ekosistem bola sepak di negara ini menyukarkan kita mengeluarkan lebih ramai bakat seperti mereka.

JDT memungkinkannya dengan persekitaran yang bukan sahaja membantu membina potensi dan kemampuan seorang pemain secara teknikal, tetapi juga secara mental sepertimana yang diperagakan oleh Arif, Afiq, Hong Wan dan Feroz di ACL sejak beberapa musim lalu.

Jika dulu ramai yang membantah penambahan pemain import kepada 9 pemain (skuad utama + skuad simpanan) dengan sistem 5+1 di Liga Super. Tidak kurang yang sentiasa tampil dengan pandangan sinis memperlekehkan usaha itu.

Sumber: JOHOR Southern Tigers

Malah peraturan tersebut seolah-olah digunakan untuk membeli kejayaan segera dengan mendapatkan pemain import dengan nilai yang tinggi tanpa lalu mengabaikan kepentingan pemain muda tempatan.
Di JDT peraturan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya.

Enggan menjadikan kehadiran pemain import sebagai alasan untuk menghadkan penampilannya, Arif, Afiq, Hong Wan dan Feroz menggunakan sebaiknya peluang beraksi di sisi mereka untuk menjadi versi pemain dengan karakter berbeza melangkaui kebiasaan.

Selain daripada kemampuan untuk bersaing dengan kelab-kelab besar di Asia, JDT turut tidak gagal memastikan kehadiran pemain import berkualiti seperti Fernando Forestieri, Heberty, Diogo Luis Santos, Bergson da Silva, Juan Muniz, Jordi Amat, dan Shane Lowry berperanan membangunkan karakter barisan pemain muda secara mampan – dalam pertandingan elit Asia seperti ini turut menjadi pentas buat pemain seperti Arif Aiman dan rakan-rakannya yang lain untuk menyinar.

Persoalannya bagaimana kelab-kelab di Liga Malaysia memilih pemain import yang mampu membantu membangunkan pemain muda seperti di JDT? Bagaimanakah persekitaran kelab menggunakan kelebihan itu untuk membantu membentuk pemain muda mencapai potensi sebenar mereka?

Di JDT mereka mempunyai impian yang disertakan dengan tindakan dan pelan terancang untuk memastikan impian itu mampu dicapai. Inilah yang kita gelar sebagai strategi yang diikuti dengan perlaksanaan atau execution. Bermimpi sahaja hanya akan diakhiri dengan halusinasi – yang menjadi barah utama bola sepak di negara ini.

Bakat dan potensi tidak pernah cukup untuk menjadi formula membentuk seorang pemain bola sepak profesional yang berkualiti dan memenuhi kehendak industri bola sepak moden pada hari ini.Untuk itu pihak pengurusan kelab turut mempunyai peranan besar dalam menghasilkan persekitaran yang mampu menjadi pemangkin dalam menentukan hala tuju seorang pemain.

Menjadi pemain biasa sahaja tidak pernah memadai. Di JDT, pemain seperti Arif Aiman, Afiq Fazail, Hong Wan, dan Feroz Baharudin turut dibentuk dengan ‘monster mentality’ untuk membina sesuatu yang luar biasa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN