Bagaimana Gentlemen’s Agreement Dalam Bola Sepak Kita Praktikkan Sejak Zaman Kanak-Kanak

Kami tertarik dengan satu penulisan santai saudara Zack Rahim di Facebook beliau tentang isu gentlemen’s agreement. Anda luangkan masa untuk baca.

Sebenarnya “Gentlemen’s Agreement” bukanlah perkara asing dalam bola sepak di negara ini dan sering dipraktikkan dalam bola sepak zaman kanak-kanak mahupun bola sepak peringkat kampung.

Bezanya ialah antara anda sedar atau tidak.

Bagaimana istilah ini mulai diperkatakan?

Seminggu yang lalu, hangat diperkatakan isu “Gentlemen’s Agreement”, setelah didedahkan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edward.

Dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini, beberapa bekas tongak JDT berpindah ke pasukan lain dan “Gentlemen’s Agreement” dijadikan sebahagian dari klausa perjanjian perpindahan tersebut.

Artikel ini merungkai 10 jenis “Gentlemen’s Agreement”, juga pernah diamalkan dalam bola sepak Malaysia.

Untuk memudahkan kefahaman kita mengenai “Gentlemen’s Agreement”, kita ambil contoh analogi bola sepak yang sering dimainkan ketika zaman kanak-kanak atau di desa.

Siapakah di antara kita punyai pengalaman sebegini?

1. Sepak Mula Perlawanan

Sepak mula perlawanan adalah bergantung kepada tuan punya bola.

Selagi tuan punya bola belum hadir ke arena yang bagaikan Wembley buat anak-anak pada zaman itu, selagi itulah rakan-rakan sepasukan yang lain terpaksa sabar menunggu.

Waktu inilah pegawai pasukan tidak bertauliah dan barisan pemain merungut daripada belakang sambil berharap tuan punya bola segera habis mengaji atau siap kerja rumah.

Kalau tidak, terpaksa pilih ‘Plan B’, main baling selipar.

2. Perlawanan Tertunda

Wisel tamat perlawanan juga banyak bergantung kepada tuan punya bola. Kalaulah pasukan tuan punya bola tak cekap main bola sekalipun, pasukan lawan kena agak-agak nak bubuh gol. Hati tuan punya bola kena jaga.

Sekali tuan punya bola sentap, maka tamatlah cabaran pada hari itu. Maka perlawanan pada hari tersebut akan dianggap sebagai perlawanan tertunda.

Tidak ada buku manual pertandingan untuk rujukan andai perkara sebegini terjadi. Jawatankuasa pertandingan di bawah kuasa mutlak tuan punya bola.

3. Waktu Kecederaan

Bacaan Al-Quran atau Tahrim (zikir) dari masjid berdekatan bermakna perlawanan sudah pun masuk ke waktu tambahan. Bahasa komentar pengulas sukan dipanggil waktu kecederaan.

Waktu inilah, kedua-dua pasukan akan ‘pulun‘ (berhabis-habisan) untuk menjaringkan gol. Anehnya, siapa yang menjaringkan gol terlebih dahulu pada waktu ini boleh dianggap pemenang walaupun lawan sudah mendahului 5-0.

Jelas pertandingan bola sepak kanak-kanak punyai semangat kesukanan yang tinggi. Tidak ada siapa yang mempersoalkan kemenangan selepas tamat perlawanan.

4. Wisel Penamat

Tidak ada wisel penamat akan ditiup dalam perlawanan ini. Jika azan magrib berkumandang dari masjid berdekatan, itu tandanya wisel penamat telah ditiup.

Pemain-pemain hendaklah bersurai dengan kadar segera dan bersiap untuk sembahyang berjemaah di masjid.

Kegagalan untuk bersurai tatkala azan maghrib sudah berkumandang akan mengundang rusuhan. Sama ada ayah atau ibu akan datang bawa rotan atau tali pinggang untuk merusuh.

Paling teruk jika rusuhan dicetuskan oleh orang tua tuan punya bola. Seminggu semua pasukan tidak bermain bola kerana tuan punya bola kena denda duduk rumah pada waktu petang.

Jika bola yang ditendang terkena tingkap rumah jiran atau orang kampung, itu juga bermakna wisel penamat telah ditiup.

5. Jersi Dan Kit Pasukan

Ini adalah satu perkara yang unik. Walaupun pada usia kanak-kanak sudah kenal akan jenama-jenama sukan terkemuka seperti Adidas, Nike, Puma dan Lotto, pemain di era ini tidak punyai jersi pasukan.

Syaratnya mudah. Pasukan mana yang dibolosi terlebih dahulu, hendaklah anggota pasukan tersebut bermain tanpa baju sehingga perlawanan tamat.

Perkara paling lucu ialah apabila terdapat ahli pasukan yang belot kerana malu dan enggan membuka baju. Sekali lagi, tidak ada siapa yang akan mempersoalkan tindakan anda yang belot.

Pemain-pemain juga berkaki ayam untuk bermain bola. Tidak ada Adidas, Nike, Puma atau Lotto. Semuanya adil dan saksama bermain bola dengan berkaki ayam.

6. Posisi Pemain

Tidak ada jurulatih untuk menentukan posisi pemain. Secara automatik, pemain berbadan paling gempal akan menjaga gawang.

Jangan risau andai anda adalah seorang kaki bangku. Pasukan ini tetap mempunyai tempat untuk anda di posisi pertahanan.

Bagi yang berbadan kecil dan lincah, anda adalah “winger” semulajadi. Anak penghulu, ketua kampung atau tok imam, secara automatik akan bermain di “midfield” dan memegang watak kapten pasukan.

Siapa di kalangan anda yang mempunyai wajah kacak persis “Tom Cruise” atau “Shah Rukh Khan”, posisi penyerang disediakan khas untuk anda.

Tetapi awas! Kegagalan menjaringkan gol akan menyebabkan anda disisihkan ke bahagian pertahanan.

7. Tiang Gol

Walaupun status padang permainan digelar “Wembley” oleh pemain kedua-dua pasukan, tidak ada perbadanan stadium yang membantu menyelenggara arena ini.

Tiang gol adalah satu-satunya perkara yang sering mengundang kontroversi. Tiang gol akan dibina daripada buluh atau sekadar dipacak dengan ranting.

Anda juga mungkin pernah menggunakan tin milo atau sekadar selipar sebagai tiang gol.

Bola tinggi yang melepasi kepala penjaga gol akan segera dinafikan oleh pemain pertahanan atau penjaga gol sebagai jaringan yang dikira.

Tetapi penyerang lawan akan kata jaringan itu adalah gol kerana bola hanya melepasi rambut penjaga gol.

Berhati-hatilah dalam menangani kontroversi sebegini. Ia boleh mengundang tuan punya bola sentap lantas menamatkan perlawanan dengan membawa bola balik ke rumah sambil merajuk.

8. Garisan Padang Dan Bola Keluar 

Oleh kerana tiada penyelenggaraan, maka padang bola tersebut tiada garisan keluar.

Pemain kedua-dua belah pasukan hanya akan mengagak bila balingan ke dalam perlu dilakukan andai bola dah pergi terlalu jauh atau bola dah masuk ke kawasan semak.

Bagi pemain yang gemar merembat bola jauh-jauh melepasi palang gol, ia adalah tanggungjawab pemain tersebut untuk mengutip kembali bola untuk memastikan kesinambungan permainan.

Secara tidak disedari, penyerang kedua-dua pasukan akan memastikan hanya percubaan tepat dilakukan. Mungkinkah pemain hebat seperti lagenda kita Khalid Ali atau Super Mokh pernah menjalani latihan sebegini?

9. Kekasaran, Offsaid Dan Gol Curi Ayam

Sukar untuk menentukan “foul” dalam pertandingan sebegini. Namun permainan secara serta merta dihentikan jika ada terjahan keras yang menyebabkan kecederaan berlaku.

Sepakan percuma dan penalti akan diberi berdasarkan budi bicara kedua-dua pasukan atau tuan punya bola.

Memandangkan tidak ada pengadil dalam perlawanan sebegini, maka gol offsaid adalah dibenarkan. Istilah curi ayam juga muncul dari permainan bola sepak zaman kanak-kanak ini.

Oleh kerana penyerang pasukan yang kacak tetapi gagal menjaringkan gol diturunkan ke posisi pertahanan, maka seorang pemain berbadan gempal dan kaki bangku akan mengambil alih tugas penyerang.

Arahan kapten pasukan (anak ketua kampung, tok imam atau penghulu) adalah mudah. Tunggu depan tiang gol, alih perhatian penjaga gol lawan.

Adakalanya, kelihatan pemain penyerang tersebut berborak mesra dengan penjaga gol lawan.

Adakah ini juga salah satu taktik mengalihkan perhatian penjaga gol lawan? Apa pendapat anda?

10. Ahli Pasukan

Ahli pasukan kebiasaannya adalah dari rakan sekolah atau sekampung. Pasukan A mungkin terdiri dari mereka yang datang dari sebelah hilir kampung manakala Pasukan B adalah dari hulu kampung. Ini tidak menjadi masalah.

Anggota pemain setiap pasukan juga tidak terhad kepada 11-sebelah. Adakalanya setiap pasukan bermain dengan 15 pemain setiap pasukan.

Adakalanya pemain kedua-dua pasukan juga tidak seimbang. Adakalanya 11 pemain menentang pasukan dengan 12 pemain dan seterusnya.

Semua itu tidak menjadi isu asalkan semua orang bergembira dan merasa nikmat permainan bola sepak.

Kesimpulan

Apakah pendapat anda? Pernahkah anda mengalami 10 pengalaman “Gentlemen’s Agreement” yang dinyatakan di dalam artikel ini?

Atau ada punyai pengalaman lain yang berbentuk “Gentlemen’s Agreement” dalam bola sepak peringkat kampung, daerah, sekolah dan sebagainya?

Kongsikan dengan kami di ruangan komen.

Nota editor: Artikel ini diinspirasikan dari individu yang menggunakan akaun facebook Zack Rahim. Jika anda mahu penulisan anda dibaca oleh jutaaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected].

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN