Peminat MLS Undi Frank Lampard Sebagai Pemain Paling Teruk Dalam Sejarah MLS

Apabila Stefan Brody, wartawan sukan New York Daily News menulis tweet yang berbunyi…

“Senarai terkini pemain paling teruk pernah ditandatangani dalam sejarah MLS: 1) Frank Lampard 2) Rafa Marquez”

…beliau tak menyangka tweet beliau akan muncul di laman-laman web peminat MLS yang rata-ratanya bersetuju dengan pendapat beliau.

Frank Lampard merupakan designated player (pemain yang dibenarkan mempunyai gaji melebihi peraturan gaji siling MLS) untuk New York City FC.

Gaji Lampard dilaporkan berjumlah USD6 juta setahun, melebihi gaji dua lagi designated player NYCFC – David Villa (USD5.6 juta setahun) dan Andrea Pirlo (USD2 juta setahun).

Bagaimanapun sepanjang dua musim bersama NYCFC, Lampard hanya bermain 10 perlawanan sahaja. Musim ini beliau cedera dan langsung tak dapat diturunkan.

Persoalannya bagaimana beliau mendapat gelaran ‘pemain paling teruk pernah ditandatangani dalam sejarah MLS’? Laman web FTW USA menyediakan hujah-hujahnya:

Julai 2014

MLS mengumumkan Frank Lampard telah menandatangani kontrak sebagai Designated Player untuk New York City FC (NYCFC) dan akan mula bermain pada 2015.

Lampard dijangka akan menyertai David Villa untuk memperkuatkan NYCFC.

Ogos 2014

Sebulan selepas mengumumkan Lampard telah sah menandatangani kontrak dengan NYCFC, Manchester City pula mengumumkan Lampard akan menyertai pasukan mereka secara pinjaman sehingga pra-musim MLS bermula.

Hal ini tidak menjadi masalah kerana Manchester City dan NYCFC dimiliki oleh pihak yang sama iaitu City Football Group. Jadi berita ini taklah mengejutkan penyokong NYCFC.

NYCFC juga menyatakan Lampard akan kembali beraksi bersama pasukan untuk perlawanan sulung musim 2015 mereka.

Januari 2015

Selepas membuat debut bersama pasukan Manchester City, pengurus pasukan Manuel Pellegrini meluahkan minatnya untuk ‘menyimpan’ Lampard sehingga habis musim.

Lebih mengejutkan, City Football Group mengakui bahawa Lampard tidak pernah menandatangani kontrak bersama pasukan NYCFC. Mereka juga menyatakan laporan laman web rasmi Manchetser City yang mengatakan Lampard ‘dipinjam’ adalah satu kesilapan.

Ketika inilah media dan penyokong NYCFC baru tahu, Lampard sebenarnya hanya menandatangani kontrak dengan City Football Group. Bukannya NYCFC.

Ini membolehkan Lampard memilih pasukan mana yang ingin beliau bermain. Penyokong NYCFC benar-benar kecewa.

Julai 2015

Selepas musim Premier League berakhir serta mengambil sedikit masa untuk berehat, barulah Lampard secara rasminya menyertai NYCFC.

Tetapi ketika inilah, Lampard ditimpa kecederaan sehingga terpaksa diketepikan selama sebulan untuk menjalani rawatan pemulihan.

Ogos 2015

Lampard akhirnya melakukan debut sebagai pemain gantian. Beliau bermain sebanyak sepuluh perlawanan dan membuat 3 jaringan semusim. NYCFC bagaimanapun terlepas perlawanan playoff MLS Cup.

Kini

Lampard tidak bermain langsung sepanjang musim MLS ini dan terlepas 10 perlawanan berturut-turut selepas mengalami kecederaan betis.

Tanpa kehadiran Lampard, NYCFC telah memenangi 3 kejuaraan sepanjang musim ini dan menduduki kedudukan keempat dalam MLS Eastern Conference.

Dengan NYCFC sendiri sudah memiliki ramai pemain tengah, Lampard bukan lagi pilihan kesebelasan utama pengurus baru, Patrick Vieira.

Baru-baru ini, stesen penyiaran British BBC mengumumkan bahawa Lampard akan menjadi pundit untuk kejohanan EURO 2016 pada musim panas nanti. Perlu diingat, ketika itu MLS sedang berlangsung.

Ini bagaikan satu penghinaan buat penyokong NYCFC. Lampard meraih USD6 juta setahun tanpa bermain walau seminit untuk kelabnya. Tak cukup dengan itu, beliau akan meluangkan masa musim panas ini bekerja sebagai penganalisis TV pula.

Tak hairanlah bagi penyokong NYCFC dan peminat MLS secara umumnya, Lampard adalah ‘pemain paling teruk pernah ditandatangani dalam sejarah MLS’.

Baca juga: Penyokong NY Red Bulls Mengutuk Lampard Dan Pirlo Dengan Kain Rentang Ini

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN