Format seakan pertandingan ragbi yang digunakan dalam Kejohanan STAR SBP peringkat kebangsaan tahun ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan pasukan bertanding.
Pada mereka, ia patut diteruskan pada masa akan datang demi kemajuan bola sepak peringkat akar umbi.
Jurulatih dari beberapa pasukan yang terlibat dalam kejohanan ini juga tertarik dan sangat setuju sistem kejohanan yang mengamalkan format karnival diteruskan.
Jurulatih Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Norhafizul Mohamad, jadual pertandingan seperti itu dapat membantu para pemain bermain lebih banyak perlawanan dan sudah pasti minit permainan mereka juga akan bertambah.
Apa itu format pertandingan ragbi?
Dalam format pertandingan ragbi, untuk pusingan kedua setiap pasukan akan bermain dalam beberapa kategori seperti cup, plate, bowl ,shield dan spoon mengikut kedudukan mereka dalam liga.
Untuk kejohanan ini pula, pihak penganjur menerapkan format seperti itu cuma nama di tukar kepada Super, Premier, Cabaran 1 dan Cabaran 2. Kesemua pasukan akan meneruskan perjuangan mengikut kategori yang mereka akan bermain.
Ia berbeza dengan format pertandingan yang biasakan digunakan sebelum ini di mana pasukan yang berada dua kedudukan teratas akan meneruskan perjuangan manakala dan mereka yang tidak layak akan pulang awal.
“Bagi saya benda ini bagus untuk format ini [karnival], jika sebelum ini, kita buat macam tu, dah habis peringkat kumpulan, terus balik. Setakat bermain tiga perlawanan datang dari jauh macam tidak berbaloi,” katanya.
Format seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam bola sepak kerana ada juga kejohanan yang amalkan konsep karnival namun ia masih belum digunakan secara menyeluruh.
Bagi jurulatih Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Azmi Ismail turut tertarik dengan format pertandingan ini yang sedikit sebanyak dapat membuka peluang kesemua pemain beraksi dalam perlawanan tersebut.
Bagi pasukan yang datang dari jauh pula, sudah pasti jika dapat bermain lebih banyak perlawanan memberi satu kepuasan biarpun bukan bersaing dalam kategori utama.
“Kita kena fikir pasukan yang datang dari jauh, main tiga perlawanan sudah kena balik. Jadi sekarang, pemain masih lagi bersemangat setidak-tidaknya masih ada piala dan perlawanan untuk mereka rebut dan boleh dikatakan yang datang dari jauh itu berbaloi datang,” kata Azmi.
Bagi Azmi, konsep ini seperti menghargai pasukan yang kurang bernasib baik untuk layak ke pusingan seterusnya.
Jelas beliau, pasukan yang tidak berada di kedudukan kedua terbaik dalam peringkat kumpulan bukannya tewas disebabkan mereka tidak bagus tetapi mungkin ketika perlawanan itu, corak permainan yang ditonjolkan tidak menjadi.
Harap digunakan oleh MSSM
Sementara itu, bagi jurulatih Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Faisal A Rahman, beliau juga bersetuju format ini sangat baik dan berharap ianya akan dapat ditambahbaik pada edisi akan datang.
Format seperti kejohanan ragbi ini dilihat dapat menambah lebih kemeriahan kepada kejohanan ini.
Mungkin format seperti ini dapat digunakan dalam kejohanan Majlis Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) agar pemain dan pegawai pasukan akan lebih bersemangat untuk memburu kejuaraan kali kedua selepas terlepas memenangi piala utama.
Ia dirasakan lebih berbaloi dan menghargai usaha para pemain yang berlatih berbulan lamanya untuk menyertai MSSM.
Dari segi masa, ianya tidak akan menjadi terlalu lama untuk menghabiskan kesemua perlawanan jika melibatkan 16 pasukan.
Jika ada lebih banyak pasukan bertanding pun, format ini masih lagi relevan untuk digunakan.
Dalam kejohanan melibatkan pelajar sekolah, sokongan dari ibu bapa sangat penting kerana jika tiada kerjasama yang baik antara kedua pihak pasti akan merencatkan persiapan pasukan.
Boleh dikatakan, kesemua jurulatih sangat menghargai jasa ibu bapa kerana mereka begitu bersemangat menyokong pasukan dan ada yang sanggup datang dari jauh demi memberi sokongan moral kepada anak mereka.
Kadangkala ibu bapa yang lebih bersemangat daripada anak tapi ini satu sokongan yang baik untuk pasukan dan sekolah yang terlibat.
Bukan itu sahaja, ada juga ibu bapa yang menaja pasukan dari segi makanan, jersi, penginapan dan banyak lagi.
Hubungan baik antara ibu bapa dan sekolah menerusi pasukan bola sepak menunjukkan betapa utuhnya jambatan antara dua entiti ini.
Ini sekali gus memberikan inspirasi kepada anak-anak mereka apabila sudah dewasa maka jangan dilupa tempat mereka menimba ilmu satu ketika dahulu.