Bagaimana Eksperimen Zainal Menguntungkan Hafiz Kamal

Jika ada satu perkara yang bermain di fikiran Azidan Sarudin tentang prestasinya pada musim ini, beliau pasti tertanya-tanya bagaimana status beliau sebagai pemain utama Pahang hilang pada musim ini.

Pada musim lepas, Azidan adalah nama wajib dalam kesebelasan utama Pahang. Bergandingan dengan Hafiz Kamal di tengah, Azidan mempunyai lesen untuk merancang serangan dan menyerang kotak penalti lawan.

Manakala tugas Hafiz Kamal pula lebih defensif; beliau ditugaskan untuk mematahkan serangan pihak lawan di tengah dan melindungi Damion Stewart dan Razman Roslan.

Gandingan Azidan – Hafiz adalah tulang belakang pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan. Dari kedudukan ke-10 di Liga Super pada musim lepas (ketika Pahang di bawah Ron Smith), Zainal membawa Pahang ke kedudukan ke-3 liga, merangkul Piala FA dan Piala Malaysia.

Semuanya dilakukan dengan Azidan dan Hafiz di tengah.

11209591_890993334294695_4714388769152920982_n

Penurunan prestasi atau Zainal menjumpai formula baru?

11054354_865177033542992_3930899814587623236_n

Tempat Azidan sebagai pemain tengah utama Pahang mula terancam selepas kehadiran Matthew Davies pada bulan April.

Ditambah pula dengan FAM meluluskan peraturan 4 pemain import boleh diturunkan sekaligus, Zainal mula bereksperimen dengan meletakkan Zesh Rehman di tengah untuk bergandingan bersama Hafiz Kamal.

Dengan Davies di posisi bek kanan, Razman Roslan dapat bermain di posisi kegemarannya sebagai pertahanan tengah bersama Damion Stewart. Zesh Rehman yang sebelum ini berpasangan dengan Stewart dipindahkan ke bahagian tengah sebagai pemain tengah defensif.

One man’s loss is another man’s gain bak kata orang putih.

Eksperimen Zainal yang menggugurkan Azidan dari kesebelasan utama langsung tidak menjejaskan Pahang. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan, Pahang jauh lebih kuat tanpa Azidan di tengah. Sejak bulan April lagi, Zainal langsung tidak mengusik gandingan Hafiz dan Zesh di tengah.

Ini bukan soal penurunan prestasi Azidan lagi. Sudah terang lagikan bersuluh, Zainal sudah menjumpai gandingan tengah idaman dalam sistem taktikal 4-4-2 beliau.

Hafiz Kamal menyerlah di posisi Azidan

Sebagai pemain pertahanan yang berpengalaman, bukanlah satu masalah sebenarnya bagi Zesh Rehman untuk memikul tugas baru sebagai pemain tengah defensif Pahang. Malah pengalaman setahun beliau bersama Pahang membantu beliau membaca permainan majoriti pasukan Liga Super yang tidaklah seinovatif di Eropah.

Pemain paling beruntung daripada kehadiran Zesh Rehman di tengah adalah pasangannya – Hafiz Kamal.

Bermula sebagai pemain tengah defensif sendiri pada musim lepas, Hafiz jauh lebih selesa bertugas sebagai perancang serangan Pahang.

Aset utama yang membantunya di tugas baru ini adalah stamina dan teknik hantaran yang baik. Sebagai pengambil sepakan sudut dan percuma Pahang, Hafiz tiada masalah untuk membuat hantaran diagonal tepat kepada R. Gopinathan dan Azammudin Akil pada setiap minggu.

1798825_882483128479049_5911088454564699988_n

Jika pada musim lepas Hafiz seolah-olah bermain dengan rantai di kaki, pada musim ini Hafiz jauh lebih bebas untuk mengekspresikan gaya permainannya.

Beliau menyerlah di tengah ketika Pahang menewaskan Sarawak 3-1 sebelum liga bercuti Hari Raya. Ketika kemenangan 3-1 Pahang ke atas Selangor, Hafiz menjaringkan satu gol.

Hafiz Kamal bukan pemain tengah defensif

Ketika Malaysia menentang Vietnam pada suku akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Shah Alam, pasukan kebangsaan tewas 1-2.

Dalam perlawanan ini, Dollah Salleh menurunkan Hafiz Kamal sebagai kesebelasan utama buat pertama kali untuk bergandingan dengan Safiq Rahim. Peminat bola sepak tempatan sedia maklum, mana-mana pemain tengah yang digandingkan dengan Safiq Rahim pasti akan menggalas tugas defensif.

Vietnam bukan sahaja menang dalam perlawanan ini, malah mencipta terlalu banyak peluang demi peluang menjaringkan gol.

10608528_622214951234907_8806093468851031079_zing

Kami menulis analisis taktikal perlawanan ini dan menyedari gandingan Hafiz Kamal dan Safiq Rahim sangatlah tidak serasi. Kedua-dua pemain ghairah menyerang kptak penalti lawan sehingga membiarkan jentera tengah Vietnam bebas apabila mereka melancarkan serangan balas.

Dalam perlawanan inilah kami melihat intuisi dan gaya permainan Hafiz Kamal lebih menghampiri acuan box-to-box midfielder daripada pemain tengah defensif.

Apabila beliau diletakkan sebagai pemain tengah defensif, Hafiz seperti bermain dengan rantai di kakinya kerana itu bukan posisi terbaiknya.

Bergandingan dengan Zesh Rehman di jentera tengah Pahang adalah perkara paling baik yang Zainal Abidin Hassan boleh lakukan untuk memastikan Pahang kekal di puncak liga. Dengan Zesh yang lebih defensif, Hafiz lebih menyerlah.

Kesimpulan

Azidan Sarudin mungkin tidak menyukai hakikat bahawa Hafiz Kamal menyerlah di posisinya tetapi ia membawa faedah kepada Pahang.

Bagi Hafiz Kamal, musim ini adalah peluang beliau untuk berevolusi; dari pemain tengah defensif yang sederhana kepada box-to-box midfielder yang terbaik di Malaysia bermula Sabtu ini menentang Sime Darby FC.

Baca juga: Merungkai Taktik Zainal: Adakah Pahang Merupakan Stoke City versi Malaysia?

Sumber: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN