Bagaimana Diego Griffa Pastikan JDT Dekat Di Hati Rakyat Malaysia

Sebut sahaja nama Diego Griffa, rasanya hampir semua pembaca Semuanya BOLA mengenali individu yang memiliki jasa cukup besar dalam pembangunan bola sepak khususnya kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Semenjak awal penyertaan beliau bersama kelab tersebut pada tahun 2020, Diego bukan sahaja menaikkan mutu Akademi JDT di pentas pembangunan tetapi turut mengubah landskap bola sepak negara secara tidak langsung.

Gerak kerja beliau yang dilihat begitu tersusun menjadi bukti mengapa JDT mampu mendapatkan begitu ramai anak-anak muda berpotensi di seluruh negara untuk terus diasah dan memberi nafas baharu buat bola sepak Malaysia.

Bagaimana aspirasi Tunku Ismail Disempurnakan Diego?

Penubuhan Akademi JDT pada tahun 2015 adalah pelan jangka masa panjang dibuat oleh Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail yang melihat pembangunan bola sepak JDT mampu menjadi suatu kebanggaan baharu kelab itu.

Mengambil aspirasi tersebut, Griffa menjalankan tugas dengan sangat cemerlang untuk menandatangani tunas-tunas baharu tanpa ada perbezaan antara negeri, bangsa, atau latar belakang.

Pendek kata ada bakat dan potensi, maka ada peluang untuk menyertai Akademi JDT bagi terus diasah sebagai pembekal terbaik buat skuad bola sepak negara pada masa hadapan.

JDT untuk semua

Seperti diungkapkan sebelum ini, JDT untuk semua yang menyokong mereka dan tiada batasan untuk anda melahirkan rasa minat kepada kelab tersebut.

Buat Griffa, ia melebihi sempadan antara penyokong dengan beliau menjadikan JDT begitu dekat di hati rakyat seluruh pelusuk negara termasuk luar sana.

Komersil yang dilakukan Griffa boleh dianggap cukup menarik kerana beliau melakukan tugas hakiki selaku pencari bakat sambil memperkenalkan kepada generasi muda mengenai JDT.

Diego Griffa dan pakaian JDT bersama kanak-kanak di Indonesia

Sebut sahaja Utara, Selatan, atau Pantai Timur semuanya sudah diterjah pencari bakat tersebut yang terus komited akan tugasnya untuk mendapatkan tunas muda berkualiti bagi dibentuk bersama Harimau Selatan.

Bola sepak perlu datang kepada setiap hati masyarakat. Mereka perlu sentiasa merasai sendiri kecintaan buat bola sepak dan menjadikan kelab disayangi begitu dekat di hati.

Inilah yang Griffa lakukan. Kanak-kanak di Malaysia diberi banyak peluang untuk bersama dalam sesi penilaian bersama akademi JDT serta berpeluang merasai fasiliti canggih kelab itu.

Oleh itu,kanak-kanak di seluruh Malaysia dapat membesar dengan merasakan mereka juga sebahagian daripada JDT.

Saad Baharom antara contoh terbaik bakat pernah dicungkil Griffa buat JDT apabila beliau hadir dari pedalaman Felda Aring di Gua Musang, Kelantan.

Saad Baharom sebelum pembangunan dalam bola sepak dan kini cemerlang bersama JDT!

Malah pemain ini juga berjaya meraih kejayaan dalam karier pada usia masih muda bersama kelab tersebut ketika membantu JDT B-14 menjuarai kejohanan Supermokh 2024.

“Dalam bola sepak, kita tidak boleh tunggu di tempat kita dan mengharapkan masyarakat datang kepada kita, sebaliknya kitalah yang perlu datang menyelami hati setiap masyarakat.

“Kita perlu berusaha agar mereka merasai sendiri apa itu bola sepak dan kecintaan kepada kelab untuk menjadikan kita begitu dekat dengan mereka. Inilah cara sebenar sesebuah kelab bola sepak bergerak,” ujar Jorge Griffa yang merupakan ayah kepada Griffa dan itu menjadi pegangan teguh pencari bakat tersebut.

JDT B-14 simbol kejayaan Griffa

Menerusi laporan terdahulu dibuat kami, JDT B-14 mengharumkan nama Malaysia apabila mereka tampil selaku juara bagi kejohanan Supermokh Cup 2024 setelah menewaskan gergasi dari Thailand yang juga merupakan juara dua kali berturut-turut, Buriram United.

Walaupun bukan bertindak selaku pengendali utama buat JDT B-14, tetapi hampir semua pemain skuad tersebut merupakan hasil kerja Griffa untuk mencungkil bakat mereka pada awalnya.

Kejayaan JDT B-14 hasil pencarian bakat Diego Griffa dalam saingan Supermokh Cup 2024

Bawah asuhannya bersama fasiliti lengkap milik JDT, segalanya dilihat berjalan lancar untuk individu itu terus memperjuangkan bakat pembangunan tempatan.

Perancangan jauh Tunku Ismail & Griffa bakal ubah perjalanan bola sepak Malaysia

Ketika ini, hanya JDT dilihat begitu fokus membangunkan bakat-bakat tempatan hasil cetusan idea Tunku Ismail yang digerakkan oleh tenaga kerja berkualiti termasuklah Griffa.

Bakat-bakat tempatan yang berkualiti dihimpunkan kini juga sudah diberi pelbagai pendedahan dalam saingan di pentas akar umbi dalam serta luar negara.

Tidak mustahil pada suatu ketika JDT mungkin akan menjadi pasukan pertama yang tidak lagi memerlukan terlalu ramai pemain import atau warisan dalam skuad mereka seperti dilakukan kebanyakan kelab dari Korea Selatan serta Jepun.

Mengikut acuan yang terbaik, dibantu oleh ‘orang-orang’ yang memahami bola sepak seperti Griffa, JDT terus berupaya untuk memastikan masa depan bola sepak Malaysia terus mekar di pentas antarabangsa.

Terima kasih atas segalanya Coach Diego!

Setiap pertemuan ada perpisahan, begitulah jua jodoh antara JDT bersama pencari bakat dari Argentina itu kini. Ya, Griffa tidak akan lagi bersama JDT untuk masa hadapan.

Sudah tentu ia merupakan suatu cerita panjang yang akan terus dikenang kedua pihak tersebut untuk tempoh masa yang lama, kerana JDT dan Griffa mengajar cara sebenar untuk mengesan bakat-bakat muda tempatan.

Tanpa mengambil kira sebarang perbezaan, mereka yang berpotensi pastinya diberi peluang oleh Griffa untuk mencipta masa depan bersama kelab tersebut.

Tiada siapa menjangka, pemain hebat seperti Lisandro Martinez, Giovani Lo Celso, Ezequiel Barco dan ramai lagi pernah menerima sentuhan beliau sebelum menjadi bintang antarabangsa.

Harapannya, semua pemain tempatan yang menerima sentuhan beliau suatu masa nanti turut akan mencipta sebuah kejayaan buat Malaysia di pentas dunia.

Jasa JDT & Diego Griffa membangunkan anak tempatan akan terus dikenang

Terima kasih atas segala jasa Griffa buat pembangunan bola sepak JDT dan Malaysia, anda merupakan contoh terbaik untuk menjadikan kelab ini terus dekat di hati rakyat tempatan.

Pada suatu masa, harapan kami Griffa akan terus tersenyum melihat bakat-bakat sentuhannya berjaya dalam dunia bola sepak profesional.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN