Baddrol Bakhtiar Sumbat Gol, Namun Tiada Masalah Uzbekistan ‘Ketis’ Malaysia

Khairul Fahmi Malaysia Uzbekistan 2021

Jaringan Baddrol Bakhtiar di penghujung babak pertama gagal membantu menaikkan moral skuad kebangsaan yang akhirnya Malaysia tewas 1-5 kepada Uzbekistan dalam aksi persahabatan antarabangsa, sebentar tadi.

Malaysia membuat lima perubahan dalam kesebelasan utama dengan tumpuan terarah kepada penampilan Luqman Hakim menggantikan Guilherme de Paula di jentera serangan dengan akan dibantu oleh pemain senior, Baddrol Bakhtiar sebagai pembantunya di belakang. Hakimi Abdullah dan Arif Fadzilah turut diberi peluang.

Luqman Hakim mempamerkan perbezaan permainan daripada gaya penyerang yang dikemudi oleh Guilherme de Paula sebelum ini apabila beliau dilihat lebih kerap menekan jika pihak lawan menguasai kawalan bola.

Uzbekistan mempamerkan penguasaan permainan yang lebih baik di awal babak pertama, namun tampak gagal untuk memecahkan benteng skuad kebangsaan yang dilihat lebih tersusun dan kemas ketika bertahan. Masalah utama skuad kebangsaan adalah untuk mencatur asakan daripada middle third ke kawasan final third.

Selepas beberapa asakan berjaya dicatur oleh jentera serangan Uzbekistan, minit ke-10 mereka akhirnya berjaya melakukan percubaan pertama ke pintu gawang Harimau Malaya menerusi rembatan Eldor Shomurodov.

Selepas itu, tumpuan terarah kepada White Wolves Turanians apabila mereka berhasil meledak tiga gol dengan menggunakan corak serangan yang hampir sama iaitu di sebelah kiri menerusi bek sayap, Farrukh Sayfiev.

Minit ke-17, hantaran lintang rendah Farrukh Sayfiev melewati barisan benteng skuad negara sebelum menemui Dostonbek Khamdamov, yang membuat rembatan menewaskan Khairul Fahmi. Dostonbek Khamdamov sekali lagi meledak gol menerusi tandukkan pada minit ke-29, hasil hantaran lambung Jaloliddin Masharipov.

Tidak sampai lima minit mendahului dua gol, hasil gerakan Farrukh Sayfiev sekali lagi mengundang bencana apabila hantaran lintangnya berjaya menemui kepala Khuisain Norchaev yang tidak dikawal barisan benteng. Dibolosi tiga gol, Cheng Hoe memasukkan Syafiq Ahmad lebih awal untuk menggantikan Hakimi Abdullah.

Di penghujung babak pertama, skuad kebangsaan berjaya menghasilkan jaringan pertama menerusi Baddrol Bakhtiar – jaringan ke-6 antarabangsanya. Hasil pergerakan tersusun antara Akram Mahinan, Rizal Ghazali di sebelah kanan kepada Faisal Halim, sebelum rembatannya terbias di tiang menemui Baddrol Bakhtiar.

Di permulaan babak kedua, Khairul Fahmi beberapa kali menyelamatkan keadaan apabila lawan berjaya mengasak ke benteng Harimau Malaya. Biarpun sudah melepaskan tiga gol, Khairul Fahmi masih tenang di gawang. Skuad negara tampak masih positif bertahan dan adakalanya cuba menguasai lama kawalan bola.

Malaysia membuat dua pertukaran di permulaan babak kedua dengan kemasukkan Guilherme de Paula dan Mukhairi Ajmal. Rentak baik yang dicipta oleh skuad kebangsaan di penghujung babak pertama kembali hilang.

Biarpun Khairul Fahmi berjaya menyelamatkan percubaan pertama, gerakan semula melibatkan Ibrokhimkhalil Yuldashev dan Jaloliddin Masharipov akhirnya disudahkan oleh Ibrokhimkhalil untuk gol ke-4, di minit ke-67.

Malaysia kembali menemui rentak untuk mengasak lawan antaranya di minit ke-81, namun percubaan Syafiq Ahmad dari jarak jauh mudah buat penjaga gol untuk menyelamatkannya. Minit ke-89, walaupun percubaan pertama diselamatkan Khairul Fahmi, namun susulan daripada Azizbek Amonov berjaya menghasilkan gol.

Uzbekistan meneruskan rekod kemenangan mutlak ke atas Malaysia dalam lima perlawanan terakhir dan walaupun tewas dalam aksi ini, Malaysia adakalanya dilihat berjaya mempamerkan aksi yang terpuji.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN