Bekas pemain bek sisi Arsenal, Bacary Sagna mengakui Mikel Arteta adalah calon yang tepat untuk membawa The Gunners kembali menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris selepas kali terakhir melakukannya pada musim ‘Invincibles’ 2003/04.
Arsenal hampir meraih gelaran juara pada musim pertama Sagna (2007/08) menyarung jersi kelab London Utara itu tetapi kelebihan enam mata ketika perlawanan berbaki 11 perlawanan gagal digunakan sepenuhnya dan menyaksikan Manchester United mengungguli saingan musim tersebut.
Dalam pada itu, Sagna turut yakin dengan kehadiran Arteta mengambil alih tugasan selepas pengendali dari Sepanyol, Unai Emery dipecat.
”Saya fikir ia adalah pilihan yang hebat kerana dia [Mikel Arteta] mempunyai personaliti.”
”Sekiranya dia tidak gembira dengan seseorang pemain itu, dia akan terus pergi ke pemain tersebut dan mengatakan bahawa mereka tidak ada dalam pasukan, itu membuatkan mereka bekerja untuk kembali [disenaraikan],” ujar pemain berusia 37 tahun itu menurut laporan Goal.
Ketika ditanya oleh wakil Goal, adakah Arsenal mampu untuk kejuaraan liga dalam beberapa tahun akan datang, Sagna nyata yakin dengan kemampuan bekas kelabnya itu.
”Saya merasakan begitu. Leicester melakukannya dan tidak siapa yang menjangkakan perkara itu terjadi, tetapi mereka mempunyai semangat berpasukan yang hebat dan mereka berjuang pada setiap perlawanan.”
”Arsenal juga boleh melakukan sedemikian, kerana jika anda [pasukan lawan] bertemu Arsenal, ia selalunya sukar kerana cara mereka bergerak dan bermain,” ujar Bacary Sagna lagi.
Kredit foto: Shaun Botterill/Getty Images