Selepas hanya mencatat satu kemenangan dan dua seri dalam tiga perlawanan terdahulu, Selangor kali ini tewas 2-0 kepada Kedah dalam perlawanan yang diadakan di stadium kosong di Alor Setar pada malam tadi.
Dua gol pada babak pertama berjaya memastikan skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin mencatat kemenangan pertama mereka pada musim ini.
Pemain pertahanan, Renan da Silva Alves membuka akaun jaringan pada minit ke-15 untuk pasukan tuan rumah. Kpah Sherman kemudiannya menjaringkan gol kedua Kedah selepas menyempurnakan bola muntah hasil percubaan awal Hadin Azman.
Kemenangan tersebut sekali gus melonjakkan Kedah ke tangga ke-8, satu mata di belakang Selangor di kedudukan Liga Super Malaysia pada musim ini.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, B. Satiananthan enggan menuding jari kepada pihak lain, melainkan kepada dirinya sendiri dan barisan pemain yang gagal menterjemah perlawanan di atas padang kepada keputusan positif yang diharapkan.
“Kami tidak bermain dengan baik. Setelah gol pertama Kedah dijaringkan, kami bermain seperti hilang punca. Saya kena tengok balik macam mana gol tu dijaringkan. Ia Nampak seperti soft goal.
“Separuh masa kedua kami cuba untuk bangkit. Namun sayang pemain bagaikan tiada idea untuk mencari peluang. Ramai yang beraksi under pressure. Sepatutnya tiada tekanan kerana kita beraksi di stadium kosong.
Mengulas mengenai mengapa beliau turut harus dipersalahkan atas kekalahan ini, Satiananthan berkata: “Kesilapan saya ialah saya terlalu percaya kepada sesetengah pemain.
“Tetapi mereka bagaikan tiada di dalam padang [dalam aksi semalam],” jelas Satia.
Berikutan prestasi semasa ini, Satiananthan berkata beliau akan membuat teguran kepada pemain berkenaan dan turut akan mengambil langkah tidak menurunkan pemain tersebut di dalam kesebelasan utama walaupun bergelar pemain import.