“Hilang pemain tonggak sepertinya [Safuwan Baharudin] 10 hari sebelum liga bermula akan merosakkan segalanya,” komen pengendali Selangor, B. Satiananthan mengenai isu perpindahan pemain tersebut.
Laporan sebelum ini menyatakan sebuah kelab gergasi Thai League 1 telah menawarkan untuk menebus kontrak pemain tengah kelahiran Singapura itu daripada Selangor namun, ianya telah dinafikan.
Selangor dikatakan belum terdesak sehingga perlu menjual pemainnya itu yang masih belum lagi membuat sebarang penampilan pada musim baharu selepas meninggalkan pada pada hujung musim lalu.
Walaupun Satiananthan menyatakan terdapat perbincangan antara kedua-dua pasukan, namun tiada kata putus mengenai Safuwan Baharudin akan meninggalkan Gergasi Merah dan ianya kekal sebegitu.
“Normal untuk pemain yang ada kualiti untuk mendapat tawaran-tawaran lain, peluang itu datang [kepadanya] tetapi ianya tidak berlaku kerana pihak pengurusan memilih untuk kekalkannya,” tambahnya.
Sementara itu, B. Satiananthan turut memaklumkan yang Selangor hanya akan terus melalui pra-musim di tanah air selepas perancangan untuk ke China tidak dapat direalisasikan akibat serangan virus.
China ketika ini sedang dilanda teruk virus Coronavirus sehingga telah memakan nyawa ratusan rakyatnya dan telah memaksa Kejohanan Meizhou Hakka pada 24 hingga 28 Januari depan dibatalkan.
Perancangan saat akhir untuk ke Thailand turut tidak dapat dijalankan kerana semua kelab di sana sudah melengkapkan pra-musim masing-masing dan liga bakal berlangsung minggu hadapan.
“Kami mahu ke China tetapi ianya tidak berlaku. Kami juga telah melihat kepada kelab di Thailand dan Indonesia, tetapi ianya sudah sukar untuk mendapatkannya ketika ini,” jelas Satiananthan.
Dan atas segala halangan ketika ini, akhirnya Selangor terpaksa melalui aksi persahabatan di dalam negara dan telah mengatur beberapa perlawanan yang menurutnya baik untuk pasukan.
“Saya telah menyusun perlawanan menentang beberapa pasukan kuat di Liga Premier,” ujar Satiananthan.
“Kelantan adalah pasukan yang kuat di gelanggang sendiri. Kuala Lumpur memiliki pemain-pemain yang bagus. Pulau Pinang pula memiliki rekod yang sangat baik ketika ini sementara Perak II memiliki pemain-pemain muda yang sangat berbakat,” ulas pengendali berusia 61 tahun itu kepada The Star.
KREDIT FOTO: FA SELANGOR