Bekas pengendali kebangsaan, B. Satiananthan berpendapat pasukan tercorot Liga Super 2023 iaitu Kelantan supaya rombakan semula dibuat kepada pasukan tersebut dengan membabitkan aspek pengurusan.
Kelantan pada musim ini boleh dianggap bernasib malang untuk musim pertama mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), selepas terpalit dengan pelbagai isu serta kontroversi di atas padang serta hal dalaman.
Zamsaham: “Saya Cari Duit Susah, Kalau Kelantan Menang Berbaloi Juga”https://t.co/lym2dORAHf
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 30, 2023
Malah, kebanyakan penyokong pasukan tersebut kini tidak berpuas hati dengan prestasi semasa Kelantan, selain berharap supaya isu dalaman dapat diselesaikan dengan kadar segera.
Menerusi segala masalah yang melanda ini, beberapa pandangan telah dilontarkan oleh pemerhati bola sepak tempatan dalam usaha untuk membantu menyelesaikan kemelut tersebut.
Jelas Satiananthan, beliau menyatakan supaya Kelantan dapat dijual kepada mana-mana ahli perniagaan negeri tersebut yang mampu menguruskan kelab itu dengan lebih baik.
“Jual sahajalah (Kelantan FC) pada orang yang sanggup nak ambil. Kita pun tahu ramai ahli perniagaan dari Kelantan dan bola sepak memang sudah jadi budaya di sana.
“Mungkin boleh tubuhkan yayasan dan konsortium untuk uruskan Kelantan FC dan selepas itu, letak orang yang betul betul tahu pasal bola sepak, sasaran yang realistik dan dapatkan jurulatih yang baik, bukannya jurulatih import yang tiada pencapaian.
“Apa yang dibuat (Zamsaham) kepada pemain, pemain takkan lupa. Pengurusan juga perlu realistik, janganlah harapkan sekali gus dapat tukar keputusan.
“Janganlah pengurusan marah kalau kalah lagi tiga perlawanan seterusnya, gaji kena tahan tetapi kena lawan pasukan yang kuat,” katanya menerusi Berita Harian.
Pada masa sama, pengendali bola sepak berpengalaman iaitu Azraai Khor Abdullah pula menganggap Kelantan sebenarnya masih lagi boleh diselamatkan.
Nasib Malang Pemain Kelantan Bakal Dibela PFAMhttps://t.co/vuaRvTlPws
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 29, 2023
“Dengan segala isu yang melanda, saya simpati dengan apa yang berlaku tetapi perjalanan liga ada lagi, baru habis pusingan pertama.
“Kita pun lihat ada jurang kualiti yang terlalu ketara antara pemain Kelantan FC dengan pasukan lain. Dengan Kelantan United pun mereka tidak boleh beri saingan.
“Mungkin mental pemain sudah jatuh jadi apa yang diharapkan (kebangkitan) pengurusan tidak dapat dijelmakan. Kita lihat pengurusan memang ada usaha tetapi tak tahu selama mana Kelantan FC boleh bertahan.
“Kalau nak tukar pemain pun, kena dapatkan pandangan jurulatih juga. Kalau berlarutan (masalah) makanya kita kena faham faham sahajalah,” katanya pula.