Keputusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meletakkan ‘tanda harga’ kepada semua pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) tidak disenangi oleh Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan yang menganggap langkah tersebut sebagai tidak masuk akal.
Sekalipun pihak MSN masih belum memberikan sebarang perincian mengenai nilai harga yang perlu dibayar, Ketua Jurulatih Selangor itu dalam kenyataannya kepada Sinar Harian mengandaikan graduan AMD akan berdepan masalah untuk mendapat tempat di mana-mana pasukan atas faktor ‘tanda harga’ yang telah diletakkan kepada mereka.
“Saya tidak faham dengan apa yang berlaku dalam MSN sekarang sedangkan AMD itu tempat yang disediakan oleh kerajaan buat remaja yang mempunyai potensi menjadi pemain bola sepak Malaysia dan membolehkan seseorang itu memberikan sumbangan buat negara suatu hari nanti.
MSN Akan Tetapkan ‘Tanda Harga’ Pelatih AMD – https://t.co/AicXJtLA7a pic.twitter.com/aiDieAJRq8
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 23, 2019
“MSN bukan sebuah persatuan bola sepak negeri yang terikat di bawah peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Jika mahu buat keuntungan, jadikan MSN badan swasta dan diseragamkan mengikut peraturan FIFA.
“Kalau ada mana-mana pasukan atau kelab terpaksa mengeluarkan puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan khidmat pemain AMD, lebih baik mereka tubuhkan akademi sendiri,” kata jurulatih berusia 61 tahun itu.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataannya pada Isnin memaklumkan, mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat graduan AMD tidak akan dapat secara percuma atau berunding secara terus dengan keluarga pemain tersebut, tetapi perlu melalui pihak MSN.
Tanda harga itu bukanlah harga jualan pemain, sebaliknya ianya adalah insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi seperti mana yang termaktub dalam peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menetapkan setiap akademi berhak ‘menuntut’ pampasan latihan ke atas setiap pelatih di bawah kendalian mereka.
MSN akan meletakkan tanda harga kepada kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), untuk mewakili pasukan masing-masing pada masa akan datang. – Ketua Pengarah MSN. pic.twitter.com/0UIOHBP4Wy
— BERNAMA RADIO (@Bernama_Radio) December 22, 2019
Bagaimanapun menurut Satiananthan, MSN bukanlah pihak swasta yang mengejar untuk membuat keuntungan kerana dana yang disalurkan kepada AMD datangnya dari peruntukan kerajaan bagi melahirkan dan membantu sukan bola sepak Malaysia.
Maka sebagai sebuah entiti kerajaan dan berfungsi sebagai badan induk sukan negara yang bertanggungjawab membangunkan arena sukan tanah air, MSN sewajarnya mencari mekanisme yang lebih baik untuk ‘memasarkan’ produk AMD.
“Kalau begitu syarikat-syarikat di Malaysia ini perlu membayar kepada sekolah atau universiti yang telah melahirkan graduan yang kini telah bekerja dengan mereka. Fungsi sekolah itu adalah memberikan pendidikan kepada rakyat di negara ini, begitu juga dengan fungsi MSN dalam bidang sukan.
‘Tolong Ambil Graduan AMD’ – Syed Saddiq – https://t.co/GpKJ6grda4 pic.twitter.com/ztKLxn0SZN
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) October 21, 2019
“Sepatutnya AMD perlu dilihat kepada asas penubuhannya. Mereka perlu ingat dana daripada kerajaan menerusi Belanjawan di Parlimen datangnya juga daripada hasil pembayar cukai di negara ini. Kalau begitu saya juga sepatutnya mendapat insentif daripada apa yang telah saya bayar selama ini,” tegasnya lagi.
Kredit Foto: Berita Harian