Quantcast

LIGA MALAYSIA

B. Satiananthan: Apa Yang Dilakukan Shukor Adan Itu Adalah Betul

Keputusan kapten Melaka United, Mohd Shukor Adan yang dikatakan enggan beraksi pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia 2019 bertemu Pahang tempoh hari disifatkan oleh Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan sebagai bukan satu kesalahan.

Menurut sumber yang dikeluarkan Sinar Harian, Satiananthan melihat ia sebagai langkah tepat buat Shukor Adan selepas masalah gaji tertunggak yang sedang dihadapi pasukan tersebut.

Sebaik sahaja tumpas 0-3 ditangan Pahang, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan mendedahkan bahawa pemain berpengalaman tersebut sememangnya sudah tawar hati untuk beraksi selepas beliau mendedahkan permasalahan tunggakan gaji di akaun Instagram peribadi milik beliau.

B. Satiananthan. FOTO: Selangor FA

“Pada pandangan saya, apa yang Shukor buat itu adalah betul. Jika gaji tidak dibayar lebih daripada dua bulan, seseorang pemain itu ada hak untuk tidak bermain.”

“Buat apa jika dia turun beraksi tetapi tidak sepenuh hati. Saya sendiri tidak tahu mengapa Shukor tidak mahu bermain tetapi jika betul-betul dia boikot, itu hak dia atas alasan gaji tak dibayar,” ujar Satiananthan bercakap kepada Sinar Harian.

Sementara itu seperti yang dilaporkan pagi tadi, Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) yang juga merupakan ketua menteri, Adly Zahari berjanji akan melunaskan tunggakan tersebut bermula bulan ini.

Ketua Menteri Janji Langsai Gaji Pemain Melaka United Bulan Ini